Pemenang pertama, Sonita Sudin bergambar bersama kereta Mercedes Benz C200 FL AMG Line pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah WOW! SSPN-i Plus Tahunan 2020 di NZ Wheels, Bangsar, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 APRIL 2021.

BANGSAR – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Begitulah nasib seorang Pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang, Sonita Sudin menjadi pemenang cabutan WOW! SSPN-i Plus bagi tahun 2020.

Berbekalkan hanya RM30 sebulan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) Plus sejak 2018 lalu, beliau membawa pulang Mercedes Benz C200 FL AMG Line.

Menyedari akan hakikat perbelanjaan pendidikan di masa akan datang lebih tinggi, maka beliau menabung untuk masa depan tiga anaknya.

“Di peringkat lebih tinggi perbelanjaan memang banyak sebenarnya, situasi di program matrikulasi ada sesetengah ibubapa yang tidak bersedia.

“Kalau menabung daripada anak kecil serendah RM30 sebulan, sekurang-kurangnya umur 18 tahun dia ada RM7,000 hingga RM8,000 dalam tangan. Sikap berjimat cermat anak-anak semasa kecil sangat penting.

“Saya rasa perlu menabung kerana ada manfaat perlindungan takaful dan juga simpanan. Sekiranya ada apa-apa yang berlaku kepada pendeposit, sekurang-kurangnya ada manfaatnya,” katanya kepada wartawan, hari ini.

Kereta mewah bernilai lebih RM270,000 itu diserahkan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid yang turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif NZ Wheels Sdn. Bhd, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan.

Turut diraikan pemenang tempat kedua cabutan WOW! SSPN-i Plus bagi tahun 2020, Muhammad Zulfadli Hadri Abdul Rahim yang membawa pulang wang tunai RM50,000 selain Lim Kee Hau yang menerima RM30,000 bagi tempat ketiga.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah WOW! SSPN-i Plus Tahunan 2020 di NZ Wheels, Bangsar, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 APRIL 2021.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berkata, PTPTN mensasarkan sejumlah RM1.8 bilion kutipan deposit tahun ini.

Sasaran itu diletakkan selepas SSPN mencatat kejayaan kutipan RM1.99 bilion pada tahun lalu dengan 436,101 pendeposit.

“Dalam keadaan pandemik orang lebih banyak kesedaran dia melihat keperluan kepada simpanan ini sangat mendesak.

“Kita lihat jumlah peningkatan dan kita lihat sasaran kita kalau tahun lepas kita sasar RM1.5 bilion, tahun ini kita sasar RM1.8 bilion kerana kami yakin dengan kesedaran yang semakin meningkat kita boleh lagi memberikan kesedaran.

“Yang penting bagi kami adalah PTPTN bagi kesedaran untuk tabiat menabung kerana kami mahukan rakyat Malaysia untuk menabung walaupun RM1 sehari,” katanya pada majlis sama.

Menurut Ahmad Dasuki, sehingga Februari lalu sejumlah 4.86 juta akaun baharu SSPN dengan jumlah deposit bernilai RM8.28 bilion. – MalaysiaGazette