Pihak forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki dengan kesan terbakar.

NIBONG TEBAL – Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan terbakar dalam ladang kelapa sawit berhampiran perindustrian Bukit Panchor di sini malam tadi.

Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui oleh orang awam pada jam 6.50 petang sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar ditemui dalam ladang kelapa sawit.

MalaysiaGazette difahamkan mayat dipercayai berusia 20-an itu mempunyai kesan terbakar hampir 50 peratus.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, Rahimi Ra ‘ais berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan polis juga akan menyemak jika ada laporan membabitkan orang hilang.

Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat seorang lelaki di Perindustrian Bukit Panchor, Nibong Tebal malam tadi.

“Kami sedang mengumpul bahan bukti di lokasi kejadian yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat mangsa dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, pihak polis turut menemui sebuah kereta dipercayai milik mangsa kira-kira 10 meter dari lokasi penemuan mayat.

Kereta dipercayai milik mangsa ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi penemuan mayat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat dan orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu siasatan,” kata Rahimi. – MalaysiaGazette