SEREMBAN – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith memohon maaf susulan video tular yang menunjukkan beliau tertidur ketika berlangsungnya majlis Khatam Al-Quran dan Graduasi Huffaz di Palm Mall dekat sini semalam.

Menurut Pegawai Tugas Khas, Farahiah Zubir, Timbalan Menteri Kerja Raya itu keletihan dan kurang sihat namun bagi memenuhi undangan jemputan beliau tetap hadir ke majlis tersebut.

“Untuk makluman Datuk Eddin Syazlee telah memohon maaf kerana tertidur pada acara tersebut. Beliau makan ubat sebelum ke majlis tersebut tetapi tetap menggagahkan diri untuk memenuhi jemputan.

“Alhamdulilah pada majlis itu Datuk Eddin Syazlee telah meluluskan pemasangan penghawa dingin di Dewan Sekolah Menengah Sains Kuala Pilah dan menyumbang sedikit dana bagi membantu pihak sekolah memperoleh bas untuk kegunaan pelajar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Video yang tular di media sosial hari ini menunjukkan Eddin tertidur di kerusi ketika namanya dipanggil oleh pengacara majlis bagi menyempurnakan program tersebut. – Bernama