Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak

GEORGE TOWN – Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8.

Ahmad Fuzi akan menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas yang telah berkhidmat 20 tahun sejak 2001.

Chow Kon Yeow menunjukkan watikah pelantikan TYT yang baru.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Ahmad Fuzi akan menerima surat pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 30 April ini.

“Saya telah menerima sepucuk warkah pemakluman pelantikan daripada Yang Di-Pertuan Agong pada Khamis lalu berhubung pelantikan tersebut.

“Majlis penyerahan watikah pelantikan Ahmad Fuzi akan diadakan di Istana Negara manakala istiadat angkat sumpah jawatan akan berlangsung pada 1 Mei di Dewan Sri Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menguruskan segala upacara dan istiadat pelantikan sebaik mungkin mengikut prosedur operasi standard (SOP) digariskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow mewakili kerajaan negeri turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tun Abdul Rahman atas jasa beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri selama tujuh penggal.

“Saya bersama setiausaha kerajaan negeri telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Abdul Rahman pada jam 12.30 tadi tengah hari bagi memaklumkan warkah yang diterima,” kata beliau.

Untuk rekod, Ahmad Fuzi merupakan mantan Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri setelah berkhidmat di kementerian tersebut sejak 1972.

Anak kelahiran Sungai Bakap, Pulau Pinang itu adalah Ketua Setiausaha World Islamic Economic Forum Foundation (WIEF) serta menjawat beberapa jawatan lain di pelbagai organisasi dalam dan luar negara.

Beliau dilahirkan di Sungai Bakap pada 8 Januari 1949 dan menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran pada tahun 1972 di Kementerian Luar.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara selain pernah mengetuai delegasi pegawai kanan negara dalam rundingan pelbagai persidangan antarabangsa serta menganjurkan Sidang Kemuncak NAM dan Sidang Kemuncak OIC pada 2003. -MalaysiaGazette