Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penjualan ekuiti Malaysia oleh pelabur asing menyusut kepada RM77.9 juta bersih minggu lepas berbanding RM173.3 juta bersih yang dijual pada minggu sebelumnya.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, setakat  9 April, pelabur antarabangsa telah melupuskan RM1.8 bilion bersih atau US$437.0 juta bersih ekuiti tempatan di Bursa Malaysia tahun ini.

“Namun begitu, aliran keluar bersih asing Malaysia setakat tahun ini adalah kecil jika dibandingkan dengan rakan setaranya di ASEAN seperti Filipina dan Thailand, yang masing-masing mempunyai aliran keluar bersih melebihi US$900 juta (US$1= RM4.133),” katanya kepada Bernama.

Menurut Adam, Bursa Malaysia menyaksikan permulaan minggu lepas yang agak buruk dengan pelabur antarabangsa menjual RM41.6 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin.

“Sentimen pada hari Isnin lembap berikutan meningkatnya jumlah kes penularan COVID-19 di India yang menyaksikan pekerja pejabat terpaksa bekerja dari rumah dan pusat beli-belah ditutup sepanjang April di Mumbai,” katanya.

Beliau berkata aktiviti penjualan bersih asing mendapat momentum pada Selasa dengan mencecah RM94.6 juta walaupun kenaikan semula harga minyak mentah telah meningkatkan daya tarikan aset Malaysia.

Walaupun begitu, Adam berkata, dana asing pada Rabu, memperoleh RM157.1 juta bersih ekuiti tempatan, terutamanya saham sarung tangan getah, sekali gus melonjakkan harga saham Top Glove, Supermax dan Hartalega sekurang-kurangnya 10 peratus.

“Minat untuk kaunter sarung tangan kembali ‘hidup’ berikutan gelombang terkini pandemik COVID-19 di Eropah dan India yang pastinya telah mendorong permintaan yang lebih tinggi untuk sarung tangan getah,” tambahnya.

Bagaimanapun, Adam berkata aliran masuk bersih asing yang banyak itu tidak bertahan lama dengan dana asing mengeluarkan RM43.5 juta pada Khamis memandangkan penularan koronovirus di Asia telah mengurangkan kehendak risiko.

Urus niaga Jumaat menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM49.9 juta kerana sentimen secara keseluruhan lebih bercampur-campur, katanya.

Menurut Adam, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.6 peratus pada  Jumaat, dirangsang oleh peningkatan saham-saham telekomunikasi seperti Digi dan Axiata berikutan berita penggabungan antara dua syarikat gergasi telekomunikasi berkenaan.

“Pada masa sama, para pelabur turut “menghadam” kenaikan yang tidak dijangka dalam tuntutan pengangguran mingguan AS, yang menandakan pemulihan tidak sekata di pasaran tenaga kerja,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast