PDRM police Nilai stepfather drugs boy
PDRM

KUANTAN – Polis menahan lima sekeluarga termasuk seorang wanita kerana disyaki memproses dadah jenis syabu dan heroin dianggarkan seberat 5.9 kilogram (kg) bernilai RM91,717 bagi pasaran di beberapa daerah di Pahang.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semua suspek diberkas pada dua serbuan berasingan di Bera, kira-kira 260 kilometer dari sini dan Ipoh, Perak pada Selasa lalu (6 April).

“Dua suspek lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 48 tahun ditahan dalam kereta di hadapan sebuah restoran segera di Triang, Bera pada 9 pagi yang disyaki sedang menunggu pembeli dadah.

“Pemeriksaan pada kenderaan menemukan syabu anggaran lebih 1kg dan heroin 4.5kg. Polis percaya suspek berada di Bera untuk mengedar dadah tersebut di sekitar Bera, Maran dan Temerloh,” katanya.

Mohd Yusri berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang Supt Mohd Azam Ab Razak.

Penahanan itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Ipoh, Perak pada 7.45 malam hari sama, membawa kepada tangkapan dua lagi suspek lelaki berusia 26 dan 42 tahun yang dipercayai menyewa rumah itu untuk dijadikan makmal memproses dadah.

Turut dirampas pada serbuan yang dilakukan dengan kerjasama JSJN IPK Perak ialah heroin seberat 353 gram dan serbuk kafein dianggarkan seberat 2kg.

“Sindiket ini dipercayai mulai aktif sejak dua bulan lalu dan polis tidak menolak kemungkinan mereka tahu cara memproses dadah memandangkan empat daripada suspek positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.

Mohd Yusri berkata, dadah yang dirampas dipercayai boleh dijual kepada 17,318 penagih.

Semua suspek yang tidak bekerja dan berasal dari Negeri Sembilan dan Perak kini direman hingga esok, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. – Bernama