Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine Muhyiddin Yassin National Covid-19 Immunisation Programme
Muhyiddin Yassin PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Program #SayaDigital dapat memainkan peranan penting membantu rakyat dan perniagaan kecil yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, hakikatnya, kesan dan akibat pandemik berkenaan boleh menjadi pendorong untuk masyarakat luar bandar memantapkan kemahiran dan ilmu digital terutamanya dalam kalangan peniaga.

Menyatakan #SayaDigital merupakan kesinambungan daripada MyDigital yang bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan masyarakat celik digital di negara ini, perdana menteri berkata insiatif itu menyasarkan kumpulan sosioekonomi yang lebih berfokus menerusi pelbagai program, seminar dan skim latihan yang dilaksanakan sejak Ogos tahun lepas.

“Ini termasuk Latihan Literasi Digital Asas dan seminar perniagaan secara maya bertujuan membantu masyarakat menggunakan platform digital untuk menjana pendapatan melalui eRezeki.

“Bagi menggiatkan lagi inisiatif ini, usaha ini akan diteruskan di pelbagai lokasi sesi outreach dengan kerjasama Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pusat Internet Komuniti sehingga akhir tahun ini dengan sasaran 10,000 pendaftaran di seluruh negara,” katanya di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapan ketika melancarkan program  #SayaDigital peringkat Kebangsaan anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) secara maya di sini.

Perdana Menteri berkata, pada Februari lepas kerajaan melancarkan inisiatif MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital dengan pelbagai inisiatif diumumkan meliputi tiga fasa pelaksanaan sehingga tahun 2030, termasuk membabitkan pelaburan yang dijalankan dengan usahasama kerajaan dan swasta.

Muhyiddin berkata, literasi digital dalam kalangan masyarakat harus dipertingkat dan ditambah baik bagi merealisasikan visi ekonomi digital.

“Saya turut difahamkan pasukan #SayaDigital juga turun ke beberapa kawasan PPR untuk mendedahkan masyarakat setempat dengan pelbagai kemahiran digital selain turut mengadakan acara di perkampungan Orang Asli di Bukit Lanjan.

“Ini merupakan satu bukti manifestasi komitmen kerajaan yang mahukan semua lapisan masyarakat menikmati hasil pembangunan dan kemakmuran negara secara adil dan saksama,” katanya.

Menyambut baik inisiatif itu, Muhyiddin berkata kempen berkenaan adalah demi masa depan digital Malaysia seperti yang dihasratkan MyDigital selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Beliau pada masa sama turut berharap semua peserta program dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran menerusi segala peluang yang tersedia.

Program #SayaDigital diwujudkan bertujuan bagi meningkatkan kadar celik digital dalam kalangan rakyat golongan B40, belia, warga emas dan kumpulan rentan sosioekonomi di negara ini.

#SayaDigital adalah program menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital yang menyasarkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi digital menjelang 2030 dapat dicipta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast