Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempelawa calon yang layak dalam bidang berkaitan bagi mengisi jawatan Pemegang Kursi Pengurusan Kelestarian Kelapa Sawit Felda Global Venture (FGV) dan Pemegang Kursi Kadazan-Dusun.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kedua-dua kursi penyelidikan itu memerlukan individu yang berpengetahuan dan berpengalaman terutama dalam bidang penyelidikan, pengurusan dan pentadbiran, hal ehwal pelajar, promosi dan pemasaran serta jaringan kerjasama antarabangsa.

“Calon mesti mempunyai pengetahuan dan pengalaman berkaitan pengurusan, polisi dan hala tuju Pendidikan Malaysia serta berkebolehan bertutur dengan fasih dan menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris.

“Antara tugas utama yang dipertanggungjawabkan ialah menjalankan penyelidikan dalam bidang yang berkaitan dengan Pemegang Kursi dan pengumpulan sumber penyelidikan dalam bidang yang diutamakan di fakulti.

“Selain itu, pemegang kursi juga bertanggungjawab menyelia calon pelajar pascasiswazah, mendapatkan dana atau geran penyelidikan secara bersendirian atau bersama fakulti dan hasil penyelidikan kemudian dibentang pada persidangan, simposium atau seminar, dan seterusnya diterbitkan dalam jurnal atau makalah ilmiah.

“Selain daripada kebenaran menggunakan gelaran Professor, Pemegang Kursi juga akan menerima gaji termasuk elaun dan manfaat lain sepanjang tempoh perkhidmatan mengikut skim gaji profesor atau kadar gaji tertentu yang ditetapkan oleh lembaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada Pendaftar, Universiti Malaysia Sabah, Aras 4, Blok Selatan Bangunan Canselori, Jalan UMS 88400 Kota Kinabalu, Sabah dan tarikh tutup permohonan adalah pada 30 April ini.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh dimajukan ke Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar di e-mel [email protected]. -MalaysiaGazette