Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) meneruskan sumbangan keperluan sekolah kepada golongan B40 seramai 50 orang murid di daerah Langkawi.

KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyumbang keperluan sekolah kepada 50 pelajar B40 di daerah Langkawi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang bertanggungjawab dalam menyelia agensi tersebut berkata, program seumpama ini dapat meringankan beban kewangan golongan sasaran  bagi menyediakan pembelajaran persekolahan ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Baru-baru ini Yayasan Peneraju turut menyumbang keperluan sekolah kepada 100 murid di Bukit Kepong, Pagoh, Johor.

“Program seumpamanya turut dijalankan di Alor Gajah, yang mana mana 100 murid turut menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) iaitu program Ceria Ke Sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara golongan lain yang turut diberi perhatian oleh Yayasan Peneraju termasuklah ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU), orang asli yang mempunyai sistem sokongan sosial yang terhad serta golongan pelajar tahfiz yang diberi kemahiran tambahan.

“Yayasan Peneraju, sejak ditubuhkan pada tahun 2012, telah melahirkan lebih 36,000 modal insan Bumiputera dalam pelbagai bidang melalui 276 program pembiayaan.

“Angka ini dijangka terus dipertingkatkan untuk memastikan modal insan Bumiputera terus diberi peluang meningkatkan taraf pendidikan, kemahiran serta pentauliahan demi memastikan modal insan negara ini terus memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi.” ujarnya. – MalaysiaGazette