KPDNHEP Pulau Pinang menjalankan Ops Catut Air bagi mengesan peniaga mengaut keuntungan dengan penjualan air kosong dengan harga tidak wajar.

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang memberi notis kepada 15 peniaga yang dikesan menjual air kosong lebih RM1.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, tindakan pemberian notis itu dibuat selepas pihaknya memeriksa 35 premis perniagaan menerusi Ops Catut 8.0 (air kosong) bermula Rabu lalu hingga semalam.

Katanya, pemeriksaan itu membabitkan restoran mewah, makanan segera, francais, kedai makan serta warung di seluruh Pulau Pinang.

“Daripada jumlah keseluruhan pemeriksaan, seramai 15 peniaga dikenakan notis untuk memberi maklum balas terhadap justifikasi harga yang ditetapkan.

“Susulan daripada operasi itu kita juga mengeluarkan 15 notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Peniaga diberikan tempoh lima hari untuk memberikan maklum balas ke atas notis yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut berhubung kutipan maklumat harga jualan air kosong di negeri itu, Mohd Ridzuan berkata, secara purata harga air kosong adalah dalam lingkungan 50 sen.

“Berdasarkan pemeriksaan yang kita buat sehingga semalam peniaga didapati purata harga 50 sen namun ada juga yang didapati menjual lebih RM1 segelas.

“Kita tidak berkrompomi kepada mana-mana peniaga cuba mengaut keuntungan daripada penjualan air kosong pada harga yang tidak wajar,” ujar beliau.

Tambah Mohd Ridzuan, orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP untuk tindakan melalui saluran aduan Whatsapp KPDNHEP di talian 019 279 4317 atau menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Pulau Pinang 04 384 0245. – MalaysiaGazette