Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semasa membuat lawatan bazar Ramadan yang dikendalikan oleh Prasarana di Stesen LRT Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 APRIL 2021.

PETALING JAYA – Hampir 90 peratus peniaga di tapak bazar Ramadan kendalian Kumpulan Prasarana merupakan golongan yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Inisiatif bazar Ramadan itu membabitkan enam stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang terpilih iaitu LRT Kelana Jaya sebanyak 67 tapak, Glenmarie (43 tapak), Damai (30 tapak), Pandan Indah (60 tapak), Cempaka (60 tapak) dan Putra Heights (30 tapak termasuk bazar Aidilfitri).

Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, peniaga-peniaga kecil yang terpaksa menutup perniagaan kerana kekurangan modal turut ditawarkan tapak untuk berniaga di bazar tersebut serta terdapat penglibatan golongan gelandangan.

Menurut beliau, pembabitan golongan gelandangan merupakan hasil usaha sama antara Prasarana dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk membantu mereka yang terpilih menerusi Program Bimbingan Niaga (Pembina).

“Mereka merupakan tajaan di bawah YKN di mana ia bertujuan untuk membimbing kumpulan sasar itu menceburi bidang perniagaan serta melatih untuk hidup berdikari.

“Ini merupakan pelaksanaan secara perkongsian bijak kerana YKN menyediakan kelengkapan gerai serta mengenalpasti calon yang bersesuaian manakala Prasarana menyediakan lot tapak niaga di LRT Kelana Jaya secara percuma manakala di Pasar Seni pula hanya caj minimum dikenakan.

“Selain YKN, Prasarana juga bekerjasama dengan usahawan di bawah bimbingan Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) menerusi inisiatif bazar kali ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi bazar Ramadan di LRT Kelana Jaya di sini hari ini.

Turut hadir, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datin Norlia Noah.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membeli juadah untuk berbuka puasa semasa membuat lawatan bazar Ramadan yang dikendalikan oleh Prasarana di Stesen LRT Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 APRIL 2021.

Jelas Tajuddin, bazar Ramadan di semua stesen-stesen berkenaan mula dibuka pada pukul 3 petang sehingga 8 malam sementara bazar Aidilfitri di LRT Putra Heights bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.

“Kita sediakan bazar di stesen LRT bertujuan memudahkan pengguna untuk membeli makanan berbuka puasa tanpa perlu menghadapi masalah kesesakan lalu lintas.

“Dalam masa sama, kita juga mahu membantu para peniaga untuk kembali membangunkan ekonomi mereka selepas terkesan akibat wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Apa yang menarik adalah pelbagai juadah berbuka puasa ada dijual di sini daripada nasi beriani, lauk-pauk, laksa, kuih-muih dan pelbagai jenis minuman,” katanya. – MalaysiaGazette