Farah Ann Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi telah bersedia untuk menghadapi Kejohanan Piala Dunia Gimnastik Artistik di Mesir dan Sukan Olimpik Tokyo.

Menurutnya, beliau kini bebas daripada kecederaan dan segala rancangan diurus dengan baik dan teliti.

“Saya sedang menjalani fisioterapi dan berdasarkan sesi latihan segalanya berjalan lancar serta sudah 80 peratus siap sedia dari segi mental dan fizikal menerusi latihan untuk menghadapi kejohanan dunia dan juga Olimpik.

“Jika ditanya pasal kejohanan dunia Gimnasitik saya disebabkan lama tak bertanding akibat pandemik, kali ini mahu menambah keyakinan saya dan hanya mahu pergi bertanding untuk menentukan tahap kecergasan dan kedudukan saya,” katanya selepas menerima vaksin Covid-19 bersama bersama 263 atlet lain di sini, hari ini.

Seperti mana kejohanan dunia sebelum ini beliau menyasarkan untuk mara ke final dengan latihan pun diteruskan seperti biasa pada bulan Ramadan ini.

“Untuk Ramadan yang bermula hari ini, ya tiada perubahan jadual latihan kerana saya sejak kecil berlatih seperti biasa untuk setiap puasa tanpa perubahan so akan meneruskan latihan dan tiada latihan waktu malam,” ujarnyanya.

Atlet Gymnastik Negara, Farah Ann Abdul Hadi selepas selesai menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Kementerian Belia dan Sukan di Kompleks Sukan DBKL, Taman Desa Tasik, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2021.

Menurut Farah Ann, beliau teruja mahu kembali di pentas antarabangsa selepas setahun tidak beraksi akibat pandemik Covid-19.

“Syukur dapat ambil vaksin rasa lebih terlindung. Saya ada pertandingan piala dunia di Mesir selepas lebih setahun dilanda Covid-19 jadi akan rasa lebih selesa dan selamat pergi ke sana dengan perlindungan vaksin ini sebelum ke Olimpik Tokyo pada Ogos depan.

“Kali terakhir saya beraksi dalam kejohanan Sukan SEA 2019 dan untuk layak ke temasya Olimpik, saya akan meneruskan latihan,” katanya. – MalaysiaGazette