KAMI Gabungan Pertubuhan Sivil Dayak Sabah Sarawak merujuk kepada kenyatan Perdana Menteri yang telah memberikan gelaran atau nama baharu kepada Sabah dan Sarawak, iaitu “Wilayah Sabah” dan “Wilayah Sarawak”.

Penjenamaan baharu ini mengundang beberapa persoalan.

Pertama, apakah implikasi nama baharu ini kepada status Kerajaan Sabah dan Kerajaan
Sarawak? Umum mengetahui bahawa, nama ini diungkapkan secara spontan oleh Perdana Menteri semasa lawatannya di Sarawak baru-baru ini dan bukannya berdasarkan keputusan Jemaah Menteri dan tidak juga berdasarkan proses penggubalan undang-undang melalui sidang Parlimen. Dari segi kuasa perundangan, penjenamaan ini tidak membawa apa-apa makna kepada Sabah dan Sarawak.

Ini kerana, sebagai sebuah negara yang mengamalkan undang-undang berdasarkan “rule of law”, semua tindakan dan keputusan kerajaan haruslah mengikut lunas undang-undang. Ini bermakna, penjenamaan ini bukan sahaja tiada makna tetapi juga
tidak sah.

Kedua, adakah pengisytiharan ini membawa Sabah dan Sarawak menjadi rakan sama taraf [‘equal partners’] dengan Malaya? Secara undang-undang, pengisytiharan “equal partners” yang tidak disokong dengan pindaan dan kuasa perlembagaan tidak mungkin dapat dilaksanakan. Itulah pentingnya mengapa Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu.

Seterusnya, jika kita lihat dari segi maksud perkataan “wilayah” itu sendiri. Kita kembali kepada peruntukan asal dan bandingkan dengan gubalan 1976 dan cadangan dibuat oleh kerajaan PH tahun 2019.

Pembacaan Artikel asal 1(2) (1963) tidak ada menggunakan perkataan “wilayah” bagi Sabah dan Sarawak. Perkataan yang digunakan adalah:
1(2) The States of the Federation shall be
(a) the States of Malay, namely, ….; and
(b) the Borneo States, namely, Sabah and Sarawak; and
(c) the State of Singapore.

Pada tahun 1976, Artikel 1(2) telah dipinda dan perkataan “territories” diperkenalkan, tetapi hanya sebagai tajuk kepada Artikel 1(2), bukan kepada peruntukan itu sendiri:
“Names, States and territories of the Federation”.

Oleh itu, jika inilah asas peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang digunakan untuk
penjenamaan ini, maka perkataan “territories” yang diterjemahkan jadi “wilayah” tidak
mempunyai kuasa perundangan kerana dari segi penafsiran undang-undang, tajuk untuk
sesuatu perenggan dalam peruntukan undang-undang bukanlah sebahagian dari peruntukan undang-undang itu sendiri; walaupun tajuk itu sedikit sebanyak membantu pembaca memahami maksud sesuatu peruntukan itu.

Dari segi penggunaan perkataan “territories / wilayah” dalam pindaan 1976, ianya lebih
menjurus kepada kawasan persekutuan secara menyeluruh [domain of the Federation]; dan bukan merujuk kepada status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sama taraf. Ini kerana, “territories of the Federation” juga merangkumi negeri-negeri di Malaya. Adakah ini membayangkan negeri-negeri di Malaya juga boleh digelar “territories of the federation” dan mempunyai status yang sama dengan “wilayah” Sabah dan “wilayah” Sarawak?

Rasa tidak puashati rakyat Sabah dan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan ialah jurang
pembangunan yang terlalu besar dengan Semenanjung Malaysia [Malaya]. Jurang ini adalah akibat agihan peruntukan pembangunan yang sangat tidak adil. Rasa tidak puashati ini ada asasnya.

Pertama, Sabah dan Sarawak telah dijanjikan pembangunan melalui Pembentukan
Malaysia 1963. Namun, selepas perut bumi Sabah dan Sarawak menyumbang mengisi tabung pembangunan negara, peruntukan persekutuan yang diterima terlalu tidak setimpal berbanding dengan sumbangan Sabah dan Sarawak. Kemiskinan penduduk, kecapaian utiliti masih rendah.

Sabah dan Sarawak ketinggalan pembangunan sekurang-kurangnya 40 tahun di belakang
Semenanjung.Penjenamaan ini haruslah disertai dengan komitmen untuk:
1. Meminda perlembagaan untuk mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak sebagai
penandatangan Perjanjian Malaysia.
2. Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi Janji Pembangunan dengan memberikan peruntukan yang lebih adil kepada Sabah dan Sarawak sebagai “equal partner”

Jika pengumuman ini hanya untuk tujuan pilihanraya, maka ianya sungguh malang bagi rakyat Sabah dan Sarawak kerana pengumuman ini hanya berniat menggadai hak, kehormatan dan harga diri.

Paluan gendang telahpun di pukulkan oleh bekas Speaker Dewan Rakyat – Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengatakan bahwa Kerajaan [Persekutuan] berdepan risiko kehilangan Sabah dan Sarawak – Laporan Akbar di Sabah, Selasa, 4 April 2021. Tanda-tanda begini harus diperhatikan.

Hentikanlah dolak-dalik melengahkan kehendak MA63. Ini masa untuk melaksanakan bukan lagi masa menabur janji. Apa yang rakyat Sabah dan Sarawak masih tunggu sampai sekarang ialah kejujuran dan maruah pemimpin Kerajaan Persekutuan dalam mengimbangi pembangunan dan kemajuan ekonomi Sabah dan Sarawak untuk sama taraf dengan Malaya. Bukan seperti yang diramalkan oleh seorang mendiang Bapa Pengasas Malaysia dari Sarawak, Tun Jugah, yang mengatakan Malaysia jangan jadi seperti tebu – “manis di pohon tawar di hujung”.

Tindakan-tindakan Kerajaan Persekutuan sejak kebelakangan ini terasa semakin tawar untuk Sabah dan Sarawak. Kami menggesa penjenamaan Sabah dan Sarawak sebagai “Wilayah” dapat diperjelaskan sesuai dengan aspirasi Perjanjian Malaysia 1963, kedua; kerajaan sendiri membuat usul pindaan perlembagaan mengenai penjenamaan, implikasi perundangan dan agihan peruntukan pada sidang parlimen akan datang dan, ketiga, kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan untuk melakukan penyelarasan struktur pentadbiran negeri sesuai dengan penjenamaan ini.

Kami berharap Kerajaan Persekutuan pada hari ini lebih jujur dan lebih komited untuk
membangun Sabah dan Sarawak. Kami bukan minta bulan dan bintang. Kami hanya mahu menikmati hasil yang kami sudah kongsikan selama ini. Sebagai Orang Asal yang dijanjikan sama taraf dengan bangsa Melayu di Malaya di bawah Artikel 153, kami juga ingin bukti bahawa peruntuk ini juga dipenuhi dengan segera; bukan dengan janji manis lagi.

Wellie Henry Majang
Pengasas Dayak Think-Tank Association Sarawak [DTTAS]

Elias Lipi Mat
Presiden, Dayak Think-Tank Association Sarawak [DTTAS]

Michael Jok
Setiausaha Agung, Society For Rights of Indigenous People [SCRIP]

Paul Raja,
Presiden, Dayak National Congress [DNC]

Dabiel John Jambun
Borneo Plight In Malaysia Foundation [BoPiMaFo]

Kanul Gindol
Gindol Initiative For Civil Society Borneo [GICCSB]

Cleftus Mojingol
Presiden, Pertubuhan Kebudayaan Rumpun Dayak Sabah

Dr. Paul Porodong

1 Komen

  1. Satu kenyataan yg merepek. Antaranya mana ada equal partner? Sarawak dan Sabah bukan sebuah negara merdeka pun pada Semptember 1963. Itu sebab Kerajaan Inggeris terpaksa wujudkan akta baru di England utk melepaskan hak kedaulatan Britain ke atas Sabah/Sarawak menjelang Hari Malaysia. Sebab masa tu Sabah & Sarawak bukan sebuah negeri apatah negara yg merdeka. Berbeza dgn Persekutuan Tanah Melayu yg merdeka pada 1957. Yg ke 2, nak pinda perlembagaan kerajaan skrg mana ada majoriti 2/3? Parlimen pun tak bersidang sbb Darurat. Dan yg ke 3- tak payah nak kata Sabah & Sarawak menyumbang lebih bamyak kpd ekonomi negara laaa..cuba semak negeri mana yg sumbang KDNK terbesar? Dan yg ke 4. Kamu faham tak konsep Federalisme? Kalau mcm ni punya kepala otak, habis negeri2 seperti Perlis tu nak makan apa? Dan yg ke 5. Jgn jd manusia yg tak bersyukur..dari benda besar sampailah kepada askar yg pertahankan kamu dari Komunis dan pengganas; dan juga guru2 yg dibawa masuk dari Semenanjung ke Sabah & Sarawak utk mengajar anak2 kamu tu..tanpa mereka, mungkin kamu ni masih mundur mcm di Kalimantan!

Comments are closed.