Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi menerima hadiah Anugerah Tenaga Kebangsaan (National Energy Awards) 2020 bagi kategori Pengurusan Tenaga Bangunan Besar serta Naib Juara Anugerah Tenaga ASEAN (AEA).

KUALA LUMPPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) muncul sebagai pemenang Anugerah Tenaga Kebangsaan 2020 bagi kategori Pengurusan Tenaga Bangunan Besar serta Naib Juara Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) baru-baru ini.

PLUS merupakan syarikat konsesi lebuh raya pertama menerima penghormatan berganda itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, kemenangan berganda PLUS itu adalah hasil daripada Pelan PLUS Green Roadmap yang mendorong strategi syarikat untuk memelihara alam sekitar dengan pendekatan yang paling inovatif dalam jangka masa lima tahun sehingga 2022.

“Dengan mengadaptasi penggunaan teknologi hijau, PLUS dalam masa yang sama juga menerapkan penggunaan innovasi-teknologi bagi transformasi digital syarikat.

“Dua faktor ini akan memastikan model kelestarian dan pertumbuhan PLUS bergerak selari serta dapat memberi manfaat kepada masa hadapan industri lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi menyatakan objektif utama syarikat adalah untuk memberi impak yang positif terhadap kecemerlangan operasi.

“Kami juga mensasarkan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan lebuh raya PLUS menerusi pelaksanaan teknologi, amalan dan budaya hijau yang kontemporari dan relevan serta memberi manfaat kepada industri,” ujarnya.

Untuk rekod, bangunan persada PLUS berjaya mencatatkan pengurangan penggunaan tenaga dan menambah baik Building Energy Intensity (BEI) dengan penurunan penggunaan tenaga tahunan kepada 15 peratus pada tahun 2019 berbanding tahun 2016. – MalaysiaGazette