Anthony Loke SOSMA GE15 UMNO agenda
Anthony Loke

KAJANG – Anggota Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu perlu menjawab kepada parti mengenai kenyataan kontroversi yang dibuatnya kelmarin.

Setiausaha Organisasi parti itu, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana kenyataan itu jelas tidak berketepatan dengan prinsip penubuhan parti yang terdiri daripada kepelbagaian kaum.

“Dia (Ronnie Liu) kata DAP jangan hilang sifat kecinaan, itu yang saya tak faham apa konteks kenyataan dia. Dia perlu jawab, tapi bagi DAP haluan yang diambil oleh parti ini mesti berlandaskan konteks di Malaysia pada hari ini.

“DAP ditubuhkan sebagai parti pelbagai kaum, di mana asas kita adalah kepada kepelbagaian bangsa. Ini kerana keadaan di negara ini membentuk negara dengan kepelbagaian kaum,” katanya ketika Program bual bicara MintaTV: Bicara tokoh bertajuk ‘Malaysia Di mana dan Ke mana kita’ di Majlis Profesor Negara (MPN), hari ini.

Program itu menjemput Anthony Loke sebagai tetamu dan dikelolakan Pensyarah Kanan Ekonomi dan Pentadbiran UM serta Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali.

Ahli Parlimen Seremban itu merujuk kepada kenyataan Lui semalam yang berkata, parti itu tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

“DAP adalah parti pelbagai kaum. Parti ini tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik kita.

“Kita harus memelihara budaya parti serta semangat perlembagaan parti, perjuangan politik pluralistik dan demokratik,” katanya ketika memberi ucapan pada majlis pelancaran buku veteran DAP Liew Ah Kim di Klang, semalam.

Kenyataan itu menerima kritikan kuat Ahli-ahli Parlimen DAP.

Antaranya Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang menyifatkan ADUN Sungei Pelek itu sebagai “cauvinis Cina yang tidak diperlukan DAP”  manakala Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh pula berkata Liu “menjejaskan usaha para pemimpin DAP lain yang memerangi prasangka dan stigma terhadap DAP”.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, kenyataan Lui tidak mewakili DAP secara keseluruhan, sebaliknya lebih kepada pandangan peribadinya terhadap hala tuju DAP masa kini.

“Mungkin ada pandangan dia terhadap DAP. Mungkin ia mewakili sebahagian atau beliau sendiri.

”Tapi dari segi kepimpinan, dasar dan pendekatan yang dibawa oleh kepimpinan DAP hari ini jauh berbeza daripada apa yang dikatakan.

“Sebab itu ia dikritik kerana ada usaha dari pihak DAP untuk kita lebih inklusif, terbuka supaya  dapat diterima oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya,” jelas Anthony lagi.

Ditanya sama ada sebarang tindakan disiplin boleh dikenakan terhadap Lui, Anthony hanya berkata; “Saya belum lihat itu dikaitkan dengan isu displin. Belum dibincangkan”. – MalaysiaGazette