KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan telah menulis satu artikel panjang lebar kononnya amanat beliau kepada ahli-ahli parti serta akar umbi.

Amanat tersebut adalah dakwaan berubung perancangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) untuk terus berkuasa.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Ahmad Zahid berkata, artikel tersebut juga menyebut bahawa pelbagai serangan telah dibuat terhadapnya, tindakan ahli Parlimen melompat parti, penyalahgunaan kuasa, perpaduan ummah, PRU-15 serta pelbagai intipati lain.

“Ingin saya menegaskan bahawa artikel itu tidak ditulis oleh saya mahupun dengan kebenaran saya tetapi dilakukan oleh orang lain yang tidak diketahui individu berkenaan,” katanya.

“Saya menyedari saban hari pelbagai fitnah dilakukan pihak tertentu bagi mengkucar-kacirkan situasi politik semasa serta memburuk-burukkan UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berharap pihak yang melakukan perkara tersebut menghentikan segera perbuatan politik jahat.

Katanya, beliau juga berharap Ramadan kali ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan amal ibadah bukannya menabur fitnah serta mengamalkan politik tidak matang.

“Saya menyarankan semua pihak yang mahu mendapatkan kenyataan rasmi daripada saya boleh meninjau melalui Facebook ini dan juga Telegram saya.

“Semoga semua daripada kita diberkati Allah SWT dan diterima segala amal kebaikan. Salam Ramadan almubarak,” katanya.

Semalam tular satu catatan bertajuk Amanat Zahid Hamidi Untuk Semua Ahli UMNO yang menyentuh tentang pelbagai perkara. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

Comments are closed.