Datuk Musa Sheikh Fadzir. Foto MALAYSIA GAZETTE, 28 MAC 2021.

GEORGE TOWN – Pucuk pimpinan UMNO yang mempunyai jawatan dalam kerajaan diminta menggesa persidangan Parlimen diadakan bagi membincangkan kebajikan rakyat daripada menumpukan soal mepercepatkan pemilihan parti tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, perkara itu ditimbulkan susulan beberapa pucuk pimpinan parti dilihat sengaja mengkucar-kacirkan keadaan demi kepentingan peribadi.

Katanya, kekangan darurat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi pencegahan penularan Covid-19 mengakibatkan Parlimen tidak boleh bersidang apatah pemilihan yang akan disertai ribuan ahli UMNO.

“Persidangan Parlimen membabitkan 220 orang pun mereka tidak boleh lakukan tapi nak berbalah untuk adakah pemilihan parti.

“Apa logiknya gesaan mereka itu dan kenapa hanya kepada parti bukan kepada kerajaan sedangkan persidangan Parlimen lagi penting untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Musa, akan sampai masa pemilihan parti dibuat dan ketika itu mereka yang mempunyai rasa tidak puas hati boleh bertanding atau memilih presiden secara demokrasi.

“Tak suka presiden sampai masa lawan. Pemilihan presiden sebelum ini pun dibuat dengan cara undian jadi sabar, jangan cuba nak kucar-kacirkan parti.

“Semua parti ada masalah tapi mereka tidak riuh tapi apa yang saya lihat kini demi kepentingan sendiri sanggup membiarkan nama UMNO terus tercalar,” kata Musa. – MalaysiaGazette