Datuk Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan menyifatkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat, Ronnie Liu yang menegaskan bahawa DAP tidak perlu “mencairkan kecinaannya” dan dibataskan hanya untuk meraih sokongan orang Melayu sebagai “membogelkan wajah sebenar” DAP.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, khabar angin selama puluhan tahun ini mengenai DAP adalah parti rasis dan untuk Cina semata-mata memang terbukti.

Lantaran itu, Gerakan mencabar Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng menjelaskan kepada seluruh rakyat terutamanya kaum Cina mengenai perjuangan DAP yang sebenar.

Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dan pemimpin DAP yang lain dinasihatkan berhenti menipu rakyat mengatakan DAP untuk semua rakyat Malaysia.

”Peribahasa Melayu mengatakan ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua’ itu lah yang boleh diumpamakan parti DAP sekarang.

”Ingin menipu orang Melayu untuk meraih undi semata-mata sekarang terbukti penipuan DAP dibongkarkan oleh pemimpin partinya sendiri,” kata Dominic.

Ronnie dalam kenyataan baru-baru ini berkata, DAP tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Ini kerana, katanya, DAP adalah parti pelbagai kaum.

”Parti ini tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik kita.

“Kita harus memelihara budaya parti serta semangat perlembagaan parti, perjuangan politik pluralistik dan demokratik,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku veteran DAP Liew Ah Kim di Klang, Ahad lalu. – MalaysiaGazette