KUALA LUMPUR – Pemulihan kualiti aset bank-bank Malaysia dijangka berlanjutan selepas 2021 dan kembali kepada tahap sebelum berlakunya pandemik Covid-19 pada 2023, menurut S&P Global Ratings.

Pengarah Penarafan Perkhidmatan Kewangan Asia Tenggara dan Asia Selatan, Ivan Tan berkata, ini seiring dengan bank-bank setaranya di ASEAN seperti di Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Pemulihan yang perlahan dijangkakan kerana ekonomi belum pulih disebabkan gelombang ketiga COVID-19 telah memberi kesan negatif ke atas bank.

“Faktor lain adalah perkadaran pinjaman di bawah moratorium atau pinjaman yang distrukturkan semula agak tinggi, iaitu sekitar 20 peratus di Malaysia dan juga di Indonesia.

“Ini juga bermaksud akan berlaku penangguhan penerimaan pinjaman tidak berbayar (NPL) yang hanya akan direalisasikan pada akhir tahun ini atau tahun depan,” katanya dalam webinar bertajuk ‘Perkembangan Terkini Sektor Perbankan Malaysia: Pemulihan Kualiti Aset Tertunda Sehingga Selepas 2021’ pada Rabu.

Dari segi pemulihan lebih pantas, beliau berkata pihaknya menjangkakan sistem perbankan Singapura serta Hong Kong dan China pulih tahun depan kepada tahap sebelum berlakunya pandemik.

“Pengawalan lebih baik terhadap penularan COVID-19 dan penurunan ketara pinjaman di bawah moratorium kepada hanya sekitar 10 peratus telah memberikan kami keyakinan bahawa Singapura akan pulih lebih cepat berbanding di negara-negara serantau lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Penarafan Perkhidmatan Kewangan Asia Tenggara dan Asia Selatan, Nancy Duan berkata, Malaysia menunjukkan prestasi lebih baik dari segi liputan moratorium tahun lepas, memandangkan moratorium automatik dilaksanakan bagi kredit runcit serta perusahaan kecil dan sederhana.

“Bagaimanapun bank-bank Malaysia mencatatkan penurunan ketara liputan moratorium daripada 70 peratus pada Jun 2020, dan setakat Februari tahun ini sekitar 17 hingga 18 peratus daripada perniagaan dan 11 hingga 12 peratus daripada isi rumah masih di bawah moratorium,” katanya.

Beliau berkata, S&P Ratings juga menjangkakan lebih banyak tekanan datang daripada sektor pemberian pinjaman pertanian, perdagangan domestik, pembinaan, pengangkutan dan pengguna.

Berdasarkan NPL yang mungkin meningkat sebanyak 2.5 hingga 3.0 peratus pada 2021, Duan berkata, NPL hanya akan meningkat tahun depan disebabkan penundaan moratorium.

“Bagi mengekang tekanan kualiti aset, bank-bank Malaysia dijangka meneliti jualan NPL secara lebih aktif, terutama bagi kredit korporat.

“Malaysia telah menggunakan kaedah ini sejak tahun lepas, contohnya kumpulan CIMB telah menjual sejumlah RM360 juta daripada aset NPL 2020 dan kami menjangkakan lebih banyak penjualan akan datang memandangkan bank-bank Malaysia berusaha mencantikkan lembaran imbangan masing-masing.

“Namun, itu tidak akan menjadi saluran utama memandangkan hapus kira NPL insolvensi dalaman akan menjadi saluran pilihan bank-bank Malaysia,” katanya.

Duan berkata, bank-bank Malaysia, bagaimanapun, mungkin menghadapi penurunan semasa daripada kedudukan yang kukuh, dengan kedudukan modal mereka semakin meningkat dan situasi mudah tunai kekal menyokong bagi tempoh terdekat.

“Kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman sekitar enam peratus tahun ini bagi bank-bank Malaysia, mengatasi sedikit pertumbuhan deposit dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Keberuntungan dan margin faedah bersih juga dijangkakan pulih secara beransur-ansur tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette