Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa pasukannya mencurigai motif Datuk Seri Najib Razak yang enggan mengesahkan status dana SRC International Sdn Bhd di Switzerland sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram turut mempersoalkan sebab bekas Perdana Menteri itu yang menolak permintaan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah untuk membawa delegasi daripada kementerian berkenaan, Bank Negara dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), bagi membuktikan wang berkenaan adalah pinjaman.

“Perlu diketahui dan diperhatikan bahawa Menteri Kewangan Kedua memiliki kuasa pengawasan terhadap semua perusahaan yang dimiliki oleh MOF Inc. dan sesuai dengan Perintah Fungsi Menteri yang dengan jelas memberikan kuasa kepada kedua-dua Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan II terhadap entiti MOF Inc. ini.

“Namun, Perayu menolak permintaan Husni untuk pergi ke Switzerland untuk mengesahkan status dana SRC di Switzerland dan mengembalikan dana tersebut ke Malaysia. Motif Perayu untuk penolakan ini sangat dipersoalkan,” katanya ketika membaca pernyataan hujah pasukan itu di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Malah katanya, Najib sendiri tidak pergi ke Switzerland untuk mengesahkan status wang tersebut.

“Hakim Mahkamah Tinggi (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) mendapati bahawa walaupun Husni tidak mempunyai rancangan, Perayu sendiri tidak mencadangkan rancangan itu. Sebagai gantinya, dia hanya menyerahkan perkara itu kepada Ahli Lembaga Pengara SRC untuk diselesaikannya.

“Perayu juga tidak pergi sendiri ke Switzerland untuk mengembalikan dana ke Malaysia,” katanya lagi.

Untuk rekod, Husni sebelum ini ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi mendakwa dana pelaburan Syarikat SRC International Sdn Bhd yang disimpan di sebuah bank di Switzerland dibekukan oleh kerajaan negara itu atas kesalahan pengubahan wang haram.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. As far a i can remember, assumptions, insinuation and heresay evidence without prove and substantiated by supporting doc, witness should not be accepted as evidence at all hemce tge saying its better to to release 10 people ratherbthen to convict i inocence suspect.

Comments are closed.