Tindakan pemotongan bekalan elektrik diambil terhadap premis yang membenarkan kegiatan judi ekor dan loteri haram beroperasi sekitar Butterworth hari ini.

SEBERANG PERAI – Kedegilan lapan premis termasuk sebuah kedai kopi membenarkan kegiatan judi ekor dan loteri haram beroperasi mengundang padah apabila kesemua premis itu dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik hari ini.

Kesemua premis sekitar Butterworth itu dikenakan tindakan sedemikian susulan serbuan pihak polis pada Ahad lalu yang membawa kepada tangkapan 19 individu.

Noorzainy.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tujuh daripada lapan premis yang dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik itu sudah beberapa kali diserbu pihak polis namun masih degil membenarkan operasi kegiatan haram tersebut.

Katanya, sindiket perjudian kini dikesan menjalankan sendiri aktiviti haram itu secara mobile iaitu bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Noorzainy (kanan) melihat pihak TNB memotong bekalan elektrik di premis yang membenarkan kegiatan judi ekor serta loteri haram beroperasi.

“Kita dapati sindiket itu beroperasi pada setiap Rabu, Sabtu dan Ahad bermula dari jam 10 pagi hingga 7 petang dengan berselindung di sebalik pelbagai aktiviti perniagaan.

“Susulan itu, kita ambil tindakan memotong bekalan elektrik sekali gus menghalang mereka daripada beroperasi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi pemotongan bekalan elektrik bersama Tenaga Nasional Berhad di sini hari ini.

Pegawai polis menunjukkan kertas catitan yang digunakan sindiket untuk menulis judi ekor yang berselindung di sebalik sebuah kedai kopi.

Tambah beliau, sebanyak 55 premis perniagaan sudah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik sejak Januari lalu mengikut Seksyen 20 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Polis akan terus membanteras kegiatan loteri dan judi ekor tanpa lesen dan kita juga akan mengenakan tindakan terhadap pemilik premis yang membenarkan sindiket ini beroperasi,” ujar Noorzainy.

MalaysiaGazette pada Ahad lalu melaporkan sindiket judi online kini dilihat semakin terdesak apabila menjadikan kereta sebagai pusat aktiviti perjudian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik licik sindiket itu gagal apabila sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) membongkar kegiatan tersebut menerusi 12 serbuan di sekitar Butterworth.

Operasi bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam itu membawa kepada tangkapan 19 individu termasuk empat pelanggan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast