Dua pengawal peribadi mengalami kecederaan di badan selepas dipukul oleh majikannya kerana berpuasa.

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lagi individu yang disyaki terlibat mencedera dan mengugut dua pengawal peribadi yang berpuasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, polis menerima laporan pada 4.16 petang semalam mengenai kejadian dua lelaki Melayu dipukul secara bergilir di bahagian belakang badan dengan menggunakan rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa lelaki tersebut berada di rumah majikannya di Bukit Tinggi, Klang.

“Kejadian berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa sebelum mengambil sepucuk pistol yang berada di pinggang salah seorang daripada bodyguard itu dan mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan menghina agama.

“Bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan empat suspek lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian itu di sekitar Klang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324,506 dan 298 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan direman di Mahkamah Klang pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes itu tidak melibatkan sebarang isu perkauman.

“Masyarakat atau mana-mana individu dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti kaum sehingga menjejaskan keharmonian kaum.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar batasan undang-undang,” ujarnya.

Sementara itu, suspek utama kes berkenaan iaitu ahli perniagaan berusia 43 tahun ditahan oleh polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 8.20 malam semalam, tidak sampai 24 jam insiden berlaku.

Suspek utama dan juga empat lagi suspek yang ditahan di Klang malam tadi dalam proses reman pagi ini di Mahkamah Klang dan IPD Dang Wangi untuk meneruskan siasatan polis. – MalaysiaGazette

Dua ‘bodyguard’ dibelasah, diugut bunuh kerana berpuasa

2 Komen

  1. Negara kecil lagi sempit DR ratifikasi ICERD tetapi sila Google: Dominican Republic stripped citizens

Comments are closed.