Dua pengawal peribadi mengalami kecederaan di badan selepas dipukul oleh majikannya kerana berpuasa.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan dicekup polis tidak sampai 24 jam selepas membelasah dua pengawal peribadinya kerana berpuasa.

Suspek turut didakwa mengacu pistol dan melakukan ugutan bunuh kepada kedua-dua mangsa itu.

Tindakan lelaki yang bernama Chung itu menyebabkan mangsa dan rakannya mengalami darah beku pada tubuh badan.

Suspek didakwa telah menyoal pengadu berusia 26 tahun itu dan rakannya ketika berada di sebuah kondominium dengan berkata ”u orang puasa ke”.

Apabila mangsa dan rakannya menjawab ”ya”, suspek bertindak menampar dan mengetuk kepala mereka dengan telefon bimbit.

Kejadian itu dikatakan berlaku di lobi One KL Condominium Complex, Jalan Pinang di sini pada jam 10 malam, Selasa lalu, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Kata beliau, polis menerima laporan daripada mangsa sekitar jam 3 pagi hari ini dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

”Mengiku fakta kes, semasa pengadu (mangsa) bersama kawannya bernama (Azminizam) berada kondominium itu, majikannya bernama Chung yang merupakan suspek telah bertanyakan kepada mangsa dan rakannya adakah mereka berdua berpuasa pada hari ini.

“Setelah pengadu memberitahu berpuasa, suspek telah memarahi pengadu dan telah menampar kepalanya sebelum pengadu bersama rakan sekerjanya mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang Selangor,” tambahnya.

Sebaik sahaja tiba di rumah suspek, pengadu dan rakannya telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan, ditumbuk dan ditendang sambil diacukan pistol ke arah pengadu.

Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami lebam di bahagian belakang badan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati pengadu dan rakannya bekerja di bawah sebuah syarikat GMP Kaisar Sekuriti Sdn Bhd., yang mana kedua-dua mereka telah dilantik sebagai pengawal rapat (pengawal) kepada suspek yang berusia 43 tahun itu.

Mangsa telah bekerja selama tiga tahun bersama suspek manakala rakannya sejak tujuh tahun lalu.

Mohamad Zainal berkata, kejadian itu berlaku kerana suspek tidak suka kedua-dua mangsa berpuasa pada bulan Ramadan ini dan memaksa mereka untuk tidak berpuasa.

“Apabila pengadu enggan dengan arahan tersebut, suspek tidak puas hati dan telah tampar sebanyak sekali di kepala semasa berada di kondominium itu.

“Lebih menyedihkan lagi, pekerja suspek juga telah mengambil kesempatan memukul pengadu serta rakannya semasa berada di rumah suspek di Batu Nilam Klang dengan menggunakan sebatang rotan sehingga menyebabkan pengadu mendapat kecederaan lebam dan mengalami darah beku.

“Ketika berada di rumahnya, suspek telah merampas sepucuk pistol jenis Glock milik rakan pengadu dan telah mengacukan senjata itu ke arah pengadu sambil membuat ugutan bunuh,” ujarnya.

Suspek telah ditangkap sekitar jam 8.20 malam tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Akibat orang Islam berlembut dan terlalu bertolak ansur dengan agama/bangsa lain inilah jadinya. Mereka lebih berani dari kita. Kita pula takut kepada mereka. Mereka tak bertolak ansur

  2. Kesalahan yang AMAT SERIUS dan wajib diberi hukuman maksimum penjara mandatori kerana mengugut menggunakan pistol?

    Kebiasaanya networking gengster2 sebergini sangat meluas dan punyai dendam yang cukup kuat terhadap mangsa!

Comments are closed.