Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media Program Wacana Meja Bulat di Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 14 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengeluarkan arahan kepada masyarakat berhubung penggunaan kalimah Allah dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, arahan tersebut akan dikeluarkan dalam bentuk pentadbiran berdasarkan akta yang ada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai penggunaan kalimah tersebut.

Menurutnya, langkah diambil supaya tidak timbul sebarang masalah mengenai penggunaan kalimah Allah.

“Arahan-arahan yang akan dibuat lepas ini adalah satu arahan yang boleh diterima baik semua kumpulan.

“Insya-Allah dalam perbincangan itu, semua nak jadikan agama ini sebagai satu jalan untuk ‘unite’ semua orang dalam negara ini.

“Kita tak nak isu ini menjadi isu yang boleh ‘divide’ semua antara kita,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Wacana Meja Bulat bersama kumpulan komuniti Kristian; komuniti dari Sabah dan Sarawak; kumpulan agama Hindu, Sikh, akademik, peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kalangan bukan Islam.

Katanya, arahan tersebut akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Kalau isu dari segi mesin cetak kita guna akta yang ada.

“Supaya isu penggunaan kalimah Allah ini… pengunaannya di mana tempat (dibolehkan) supaya isu ini selesai, untuk beri kepastian serta pemahaman tentang pengunaan kalimah Allah,” jelasnya.

Bagaimanapun, Hamzah menegaskan, arahan tersebut tiada kaitan dengan keputusan mahkamah pada bulan lalu.

“Kita cuma bincang mengenai penggunaan kalimah Allah, macam mana nak digunakan pada masa depan.

“Kes mahkamah itu terpulang kepada Pejabat Peguam Negara,” ujarnya.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “”Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Hakim Noor Bee Arifin membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland Lawrence Bill, penganut Kristian dari Sarawak, untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan agamanya.

Susulan itu, kerajaan pada 15 Mac lalu memfailkan rayuan terhadap penghakiman berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Si Melanau ngomong indon maka bible indon bisa pake kalimah Allah walaupun ilmu nahu bilang kalimah Allah adalah katanama khas berbeda dengan perkataan Tuhan adalah katanama am dong.

Comments are closed.