Pemandu Honda City parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth semalam.

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal di Kilometer 13.0 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini semalam.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, mangsa, Lim Song Joo yang memandu kereta jenis Honda City itu dikatakan memandu secara melawan arus lalu bergesel dengan sebuah motosikal sebelum melanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Kereta Honda City yang dipandu secara melawan arus oleh seorang lelaki mengakibatkan kemalangan di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati pemandu Honda City itu memandu lawan arus dari arah Bagan Ajam menghala ke Sungai Dua.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Benelli Leoncino itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu berkenaan bergesel dengan sebuah motosikal sebelum melanggar kereta yang datang dari arah bertentangannya.

“Bagaimanapun, pemandu kereta jenis Toyota Corolla Altis bersama isteri serta anaknya yang berusia tiga tahun mengalami kecederaan akibat dilanggar kereta lawan arus itu dan mereka dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

“Pemandu kereta Honda City turut dibawa ke hospital yang sama susulan dilaporkan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Noorzainy, punca pemandu berkenaan memandu secara melawan arus belum dikenal pasti memandangkan lelaki itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta masih menerima rawatan.

“Kita kini sedang mengesan rakaman televisyen tertutup (CCTV) di lokasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Syafinaz di talian 018 288 1424 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette