Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kes baharu harian Covid-19 terus melaporkan trend kenaikan apabila ebanyak 2,551 kes dilaporkan hari ini.

Peningkatan ini sekali gus menjadikan jumlah kes kumulatif jangkitan dalam negara bertambah kepada 370, 528 kes.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,233 orang membabitkan warganegara manakala 289 adalah warga asing manakala 29 lagi kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Hari ini, untuk hari kedua Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi berturut-turut  iaitu sebanyak 960 kes atau 37.6 peratus.

“Daripada jumlah itu sebanyak 892 kes membabitkan kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dilaksanakan di lapangan.

“Selangor merekodkan 590 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 245 kes.

”Manakala Kelantan merekodkan 164 kes baharu jangkitan, sementara Sabah 143 kes dan akhirnya Johor 121 kes harian baharu,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian Covid-19 di kementerian beliau hari ini.

Katanya, sebanyak 82 kes yang dilaporkan berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen yang membabitkan Kluster DTI Sandakan (55 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (20 kes), Kluster DTI Lenggeng (3 kes), Kluster Tembok Sri Aman (2 kes), Kluster Telok Mas (1 kes), dan Kluster Tembok Mempaga (1 kes).

Dalam pada itu, sebanyak 1,524 kes sembuh direkodkan dengan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 350,563 kes.

Dr. Noor Hisham menambah, sebanyak 18,600 kes aktif dikesan manakala 227 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara 91 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menyentuh mengenai perkembangan kes kematian hari ini, terdapat dua kes kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 1365 kes atau 0.37 peratus.

“Dua kes kematian itu membabitkan lelaki warga tempatan masing-masing berusia 61 dan 79 tahun.

“Mereka berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh,” katanya.- MalaysiaGazette