Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan agar tidak berkompromi dengan mana-mana syarikat judi dan kasino yang mempromosi iklan sambutan Hari Raya Aidilfitri di mana-mana platform pengiklanan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu perlu walaupun syarikat terbabit diberikan lesen untuk beroperasi.

Ini kerana kata beliau, aktiviti perjudian perlu dibanteras dengan tegas kerana ia jelas sebagai satu perbuatan haram di sisi Islam.

“Kami menggesa pihak berkuasa segera menyiasat iklan hari raya yang mempromosi sebuah skim judi kasino atas talian bergelar GDBet333 yang ditular di laman sosial.

“Dari apa yang ditonjolkan ia adalah judi kasino dan ia sama sekali tidak boleh diterima.

“Mempromosi judi untuk mencuba nasib untuk sambutan hari raya puasa seperti yang diiklankan bukan sahaja mengeskploitasi orang ramai malah, menghina agama Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, berdasarkan semakan di internet, GDBet333 yang dipaparkan beroperasi di Malaysia dan Singapura sebagai permainan kasino atas talian.

“Kami mendapati GDBet333 menyediakan perkhidmatan perjudian dalam talian yang boleh diakses melalui telefon pintar dalam bentuk ios ataupun android.

“Dari maklumat yang dibekalkan, pengguna telefon pintar sistem android tidak perlu risau kerana mereka boleh berjudi dan meletakkan taruhan dengan melayari laman sesawang mereka.

“Apa yang sangat dikesal ialah GDBet333 menggunakan iklan sambutan Hari Raya Puasa. Iklan itu menarik orang ramai di kalangan masyarakat Islam berjudi untuk bergembira kerana boleh bertaruh nasib memenangani tawaran wang daripada permainan kasino atas talian tersebut,” ujarnya.

Justeru tegasnya, pihak berkuasa perlu segera menyiasat iklan hari raya berkenaan serta mengharamkan penerbitannya bertindak tegas dengan berlandaskan undang-undang yang ada.

Langkah itu perlu kerana perbuatan tersebut sendiri telah menunjukkan pengeksploitasian perayaan agama terutama agama Islam untuk memancing orang ramai berjudi. – MalaysiaGazette