KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT) tidak terkejut dengan pendedahan terbaharu Ketua Polis Negara semalam mengenai penglibatan pegawai-pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM (JIPS) dalam bersekongkol dengan pegawai-pegawai polis yang terlibat dengan jenayah dan salah laku.

Ini kerana, dakwa pertubuhan bukan kerajaan itu, peguam dari EDICT yang telah mengendalikan banyak kes berkaitan kematian dan penderaan dalam tahanan yang berpunca dari tindakan dan salah laku anggota polis, telah menyaksikan bagaimana para anggota yang terlibat langsung tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh JIPS.

Malah ada sebahagian daripada mereka ditawarkan kenaikan pangkat setelah menyebabkan kematian tahanan.

”Inilah menjadi sebab yang paling kuat mengapa kita memerlukan sebuah badan bebas seperti Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dianggotai oleh mereka yang terdiri dari kalangan bukan anggota polis untuk menyiasat dan mendakwa anggota polis yang terlibat dalam jenayah,” katanya.

EDICT mengulas pendedahan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mendakwa sebahagian pegawai JIPS telah “melepaskan” anggota-anggota polis yang telah disiasat oleh jabatan itu daripada tindakan termasuk didakwa di mahkamah atau ditukar tempat kerja.

Penubuhan IPCMC ini sudah berulang kali digesa oleh EDICT dan pertubuhan hak asasi manusia yang lain kepada kerajaan namun sejak draf rang undang-undang IPCMC tersebut digubal pada tahun 2005, kerajaan langsung tidak berusaha untuk menjadikan ia realiti.

Lebih mengecewakan, pada zaman kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, Rang Undang-Undang IPCMC 2005 itu cuba digubal dan dipinda untuk menjadi sebuah institusi yang tidak bertaring dan tidak diberi kuasa untuk mendakwa anggota yang terlibat dengan jenayah.

Oleh itu, EDICT mengingatkan kerajaan, usah dibiarkan lagi barah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini melarat.

”Tindakan segera, serius dan tegas perlu diambil bagi memastikan imej dan integiriti PDRM terjaga. Sekiranya PDRM mula dikuasai para penjenayah dan kongsi gelap, maka ini akan melumpuhkan institusi keselamatan dan mengancam kedaulatan negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast