Dua pengawal peribadi mengalami kecederaan di badan selepas dipukul oleh majikannya kerana berpuasa.

KUALA LUMPUR – Kelab Jaringan Naib-Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Kagum) memandang serius dakwaan majikan memukul dua pekerja yang berpuasa kerana cuba menghalang mereka daripada meneruskan ibadah tersebut.

Sedangkan Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan tidak menghalang penganut agama lain menjalani amalan mereka bukti bahawa Malaysia ialah contoh negara Islam yang moden dan majmuk.

Menyifatkan kontroversi ini amat mengejutkan dan mengundang kemarahan ummah, Setiausaha Agungnya, Iszuwan Ismail menggesa agar undang-undang berkaitan dipinda serta-merta.

Dengan langkah itu, tindakan mana-mana majikan menghalang perjalanan ibadah wajar dikenakan hukuman paling berat kerana turut melibatkan keharmonian hubungan antara kaum.

Tambahnya, susulan penahanan lelaki kerana menampar, memukul dua pengawal peribadinya yang berpuasa selain mengacu pistol ke arah mereka, Kagum juga memandang serius kenyataan majikan kepada mangsa tersebut yang menyatakan Ketua Polis Negara berada di bawah kawalannya.

Perkara seumpama ini perlu disiasat segera memandangkan ia melibatkan integriti penjawat awam, tegasnya. – MalaysiaGazette