Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Seorang wanita berusia 25 tahun yang bekerja di pusat hiburan di Jalan Kia Peng ibu negara dikenalpasti sebagai kluster baharu hari ini.

Individu itu dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 13 April lalu dan 18 individu telah disaring dan lapan daripadanya disahkan positif bagi kluster tersebut.

Ia antara tujuh kluster baharu penularan Covid-19 yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam perkembangan terbaharu jangkitan koronavirus.

Mengikut pecahan, tiga kluster melibatkan tempat kerja manakala dua kluster pusat tahanan dan masing masing satu kluster komuniti dan pendidikan.

Kluster Jalan Sultan Iskandar dan Jepak di Sarawak, Kluster Jalan Balakong di Selangor, Kluster Jalan Kia Peng di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kluster Depot Tahanan Imigresen di Sandakan Sabah, DTI Lenggeng Negeri Sembilan dan Kluster Sri Layang, Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Jepak pula membabitkan satu majlis sosial yang berlangsung di Kampung Jepak, Bintulu pada 3 April lalu dan kes merupakan seorang wanita berusia 32 tahun yang disahkan positif 8 April lalu.

Katanya, bagi kluster berkenaan sejumlah 402 individu disaring dan 50 daripadanya disahkan positif.

“Manakala satu lagi kluster iaitu Sri Layang pula adalah membabitkan sebuah institusi pendidikan di Bentong, Pahang.

“Kluster berkenaan adalah seorang kakitangan lelaki berusia 56 tahun dikesan positif pada 11 April lalu menerusi saringan individu bergejala dan mula demam pada 3 April lalu.

“Setakat ini, 420 orang disaring dan 16 daripadanya dikesan positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, turut dikesan sekumpulan pekerja kilang di Jalan Balakong, Seri Kembangan menerusi kluster Jalan Balakong apabila dikenalpasti positif hasil saringan bersasar di tempat kerja

Katanya, setakat ini 29 individu telah disaring, yang mana 19 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster tersebut.

Mengulas mengenai jumlah kluster terkini dalam negara, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,507 kluster dilaporkan sehingga hari ini.

Jumlah kluster yang telah tamat adalah sebanyak 1,161 kluster termasuk tujuh kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Daun, Kluster Jalan Besar Kepong, Kluster Sungai Puteh, Kluster Jalan Kebun Nenas, Kluster Industri TTJ, Kluster Persiaran Hemisfera, dan Kluster Lorong Usaha Utama.

Sementara itu, 346 kluster dikesan aktif manakala jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini adalah 68 kluster.

Menurutnya, kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Puncak Borneo (315 kes), Kluster Jalan Bambangan (99 kes), dan Kluster DTI Sandakan (55 kes). – MalaysiaGazette