Penduduk memegang 'placard' sebagai tanda bantahan mereka yang ingin kediaman gantian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebelum bersetuju berpindah selepas UDA Holding membeli tanah di Kampung Peel, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA) menjelaskan bahawa syarikat itu adalah pemaju hartanah dan pemilik sah bagi lot tanah Lot 20064 yang terletak di Kampung Peel, Seksyen 90, Kuala Lumpur.yang masih diduduki penduduk setinggan.

Sebagai pemilik, UDA telah menerima Surat Kelulusan Arahan Pembangunan dari Jabatan Perancang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi projek pembinaan rumah mampu milik.

Katanya, dari keterangan dan dokumen yang dikemukakan di mahkamah, penghuni tanah terbabit tiada kebenaran atau lesen (TOL) untuk menghuni tanah tersebut dari Pejabat Tanah Dan Galian (PTG).

Dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette, UDA berkata, pihaknya ambil maklum dan memahami keresahan penghuni setinggan di atas lot tanah terbabit dan sebagai pemaju hartanah yang bertanggungjawab, ia telah mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan bagi mengosongkan tanah terbabit.

Pada Oktober 2018, UDA telah mengadakan perjumpaan dengan pihak DBKL berkenaan isu setinggan dan bertanyakan sekiranya pihak DBKL ada menyediakan kemudahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekiranya penduduk setinggan terpaksa dipindahkan.

Bagaimanapun, DBKL memaklumkan pihaknya tidak lagi menyediakan kemudahan PPR bagi menampung isu setinggan.

Tetapi atas dasar keperihatinan dan bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh penduduk, pada Januari 2019, UDA telah menawarkan pampasan sebanyak RM10,000.00 kepada penduduk yang mengosongkan rumah mereka dan 13 individu telah menerima tawaran tersebut.

”Pada Julai 2019, UDA telah mengeluarkan notis kedua kepada semua penghuni setinggan tersebut namun, kebanyakan penghuni masih enggan mengosongkan rumah mereka dan perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama Ahli Parlimen Titiwangsa pada Ogos 2019.

”Keengganan penghuni setinggan mengosongkan lot tersebut telah menjadi punca kelewatan pembinaan rumah mampu milik dan pihak kami tidak mempunyai pilihan lain bagi meneruskan usaha pembinaan projek tersebut,” katanya.

Tambah syarikat itu, UDA telah memfailkan writ saman pada September tahun lalu bagi meneruskan permohonan mendapatkan pemilikan kosong hartanah.

“Dan status terkini iaitu pada 24 Mac 2021, UDA menawarkan pampasan berbentuk wang tunai seperti sebelum ini kepada setiap penduduk tanpa menyediakan kemudahan untuk tawaran rumah kos rendah atau rumah PPR memandangkan urusan pemberi milikan rumah PPR adalah di bawah bidang kuasa DBKL dan bukan UDA,” tambahnya lagi.

UDA memberi penjelasan itu selepas kira-kira 126 penduduk Kampung Peel memohon agar diberikan PPR sebelum diarahkan meninggalkan rumah mereka.

Ketua AMK Wilayah Persekutuan P. Prabakaran yang mewakili penduduk tersebut berkata, penduduk asal kampung berkenaan kebanyakannya tidak mempunyai rumah lain sekiranya UDA Holdings Sdn Bhd memajukan kawasan tersebut selepas membelinya pada 2019. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk Kampung Peel minta PPR