Ketua AMK Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran bersama penduduk memegang 'placard' sebagai tanda bantahan mereka yang ingin kediaman gantian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebelum bersetuju berpindah selepas UDA Holding membeli tanah di Kampung Peel, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai kira-kira 126 penduduk Kampung Peel, di sini, memohon agar diberikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebelum diarahkan meninggalkan rumah mereka.

Ketua AMK Wilayah Persekutuan P. Prabakaran yang pada bantahan itu berkata, penduduk asal kampung berkenaan kebanyakannya tidak mempunyai rumah lain sekiranya UDA Holdings Sdn Bhd memajukan kawasan tersebut selepas membelinya pada 2019.

Beliau mendakwa, meskipun pihak pemaju telah menjanjikan pampasan, namun penduduk di situ memerlukan rumah berikutan keadaan mereka yang tidak mampu memiliki tempat berteduh kerana rata-rata mereka dalam golongan B40.

“Ini perumahan Kampung Peel sudah lebih 65 tahun Kg Peel ini merupakan satu kampung lama mengalami masalah sejak 2019 agak serius yang dipandang rendah pihak pimpinan.

“Isu tanah ini berlaku apabila tanah di penempatan ini yang dibeli oleh UDA Holdings Bhd (UDA)  pemaju ambil tanah dapat notis 2018 untuk pindah dari kawasan ini, selalunya apabila tanah dimiliki pemaju akan dapat notis dan akan diberi pampasan,” katanya kepada pemberita.

Tambah Ahli Parlimen Batu itu, isu ini telah diajukan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Kumpur (DBKL) sebelum ini namun pihak berkuasa berkenaan memaklumkan tidak boleh mengambil tindakan lanjut berikutan tanah di Kampung Peel kini merupakan tanah persendirian.

Tidak berpuas hati dengan jawapan berkenaan, P. Prabakaran memaklumkan akan menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar pada Isnin ini untuk mengutarakan masalah yang dihadapi penduduk berkenaan sejak 2019.

“DBKL kata tidak bertanggungjawab atas tanah swasta DBKL hanya bantu dari segi bancian dan data pihak pemaju pun tidak bantu, jadi penduduk hadapi masalah,”katanya.

Ketua AMK Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran bersama bercakap kepada media mengenai penduduk ingin kediaman gantian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebelum bersetuju berpindah selepas UDA Holding membeli tanah di Kampung Peel, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2021.

Beliau menambah, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun juga sepatutnya membantu penduduk di kampung berkenaan yang rata-rata merupakan peneroka di kawasan itu sejak bertahun-tahun yang lalu.

Beliau turut menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengambil perhatian terhadap isu ini dan bantu membela penduduk-penduduk di sini.

Terdahulu Prabakaran berkata, UDA Holdings menawarkan pampasan sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 untuk penduduk di Kampung Peel untuk berpindah selepas membeli tanah di situ.

Namun hanya lapan orang sahaja yang sudah mengambil pampasan tersebut manakala selebihnya memilih untuk menuntut rumah selain pampasan.

“Jadi mereka mahu gantian PPR. Permintaan ini adil sebab mereka peneroka di sini berpuluh tahun,” tambahnya.

Selain menyerahkan memorandum, Prabakaran memaklumkan bakal bertemu dengan Pengerusi UDA, Datuk Jalaluddin Alias yang juga Ahli Parlimen Jelebu untuk membawa suara penduduk di sini pada Isnin.

Sementara itu, seorang warga emas yang lahir di Kampung Peel dan membesar di situ, Low Wan Ngoh, 87, berharap agar beliau dan keluarganya diberikan rumah untuk berteduh sekiranya diminta keluar dari kawasan itu.

“Saya lahir di sini membesar di sini, kalau tidak dapat rumah mahu tinggal di mana lagi?” Soalnya.

Terdahulu, Ketua Kampung berkenaan, Dewa Arumugam, 46, berkata, notis arahan yang diberikan oleh UDA untuk penduduk berkenaan berpindah adalah pada 5 April 2019. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. MG kena laporkan apa status sebenar tanah kawasan itu.
    Mungkin dulu tuan tanah asal hanya bagi tumpang sementara, kemudian masing² bawa org lain plak pi buat rumah kt situ. Masalah jenis ni byk berlaku, bila org simpati bagi tumpang sat, depa pi angkut habis adik beradik pi dok situ..

Comments are closed.