Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta penyedia platform media menurunkan iklan promosi hari raya Aidilfitri terbitan syarikat judi GDBet333.

Dalam satu kenyataan SKMM memaklumkan, penyedia platform yang terlibat adalah Facebook, Twitter dan Youtube.

Menurut kenyataan itu, pihak yang terlibat dengan penerbitan iklan itu seperti produksi dan pelakon seharusnya perlu lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian yang jelas merupakan satu kesalahan.

“Penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan.

“Dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk,” katanya.

SKMM menambah, pengguna laman sosial perlulah lebih bertanggungjawab dengan melaporkan perkara-perkara seperti itu secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan bukannya menyebarluaskan kandungan berkenaan.

Jelasnya, perbuatan menyebarluaskan kandungan tersebut hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast