Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah bercakap pada sidang media berkaitan isu video lagu raya promosi judi atas talian di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Penganjur atau pengunjung bazar Ramadan dan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan dikenakan tindakan kompaun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebanyak 55 kumpulan yang terdiri daripada pegawai dan anggota akan menjalankan rondaan sepanjang penganjuran bazar tersebut.

“Anggota beruniform dan tidak beruniform akan melakukan pemantauan dari masa ke semasa di kawasan bazar bagi memastikan pengunjung dan penganjur mematuhi SOP yang telah dikeluarkan.

“Kita juga mahu pastikan keselamatan orang awam supaya mereka tidak menjadi mangsa jenayah sama ada penyeluk saku atau pun samun.

“Pengunjung perlu sentiasa berwaspada dan tidak beri peluang kepada penjenayah lakukan jenayah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal turut memberi peringatan kepada pihak penganjur supaya tidak lalai atau leka kerana mereka boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM25,000 jika didapati melanggar SOP ditetapkan.

Media sebelum ini melaporkan, bazar Aidilfitri di Jalan TAR dibuka semula kepada orang awam bermula hari ini. – Malaysia