PASIR GUDANG – Seorang remaja lelaki cedera dipukul pengguna jalan raya selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taman Cendana-Masai, Kong Kong, di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku pada jam 3.30 petang semalam melibatkan remaja,18, yang ketika itu memandu kereta Proton Wira.

Manakala, sebuah motosikal Honda EX5 ditunggang seorang wanita, 38.

“Kemalangan berlaku sewaktu penunggang motosikal dari arah Jalan Kota Masai menghala ke Jalan Scientex dan Proton Wira dari arah Taman Cendana hendak membelok ke kanan menghala ke Jalan Kota Masai.

“Apabila di lokasi kejadian, penunggang motosikal tidak sempat brek lalu melanggar Proton Wira yang sedang membelok,” katanya dalam kenyataan media.

Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kaki dan tangan.

Difahamkan, pengguna jalan raya yang berada di tempat kejadian berang dan bertindak memukul remaja lelaki berkenaan.

“Remaja itu katanya, mengalami kecederaan di kepala, kaki sebelah kanan, hidung patah, pipi cedera, jari manis dan jari kelengking patah,” ujarnya.

Remaja tersebut kini menerima rawatan di Hospital Colombia dan akan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Susulan tindakan orang awam yang memukul pemandu kereta pihak polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata berbahaya sehingga mendatangkan cedera.

“Polis akan mengesan dan menangkap pelaku yang terlibat,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan kepada polis.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau saksi kejadian agar dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222. – MalaysiaGazette