KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Damai Perdana, Batu 9 Cheras, di sini, pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang berumur antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan reman hingga esok bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, polis menerima laporan mengenai pergaduhan yang membabitkan beberapa lelaki di hadapan sebuah restoran pada jam 11.40 malam 9 April lalu.

Menurutnya, dalam kejadian itu seorang lelaki berusia 27 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.

“Mangsa telah dibenarkan pulang dan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

Sebuah video berdurasi 30 saat berhubung kejadian pergaduhan itu tular di media sosial yang tular malam tadi memaparkan beberapa lelaki bergaduh di sebuah restoran.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730. – MalaysiaGazette