Abdul Aziz Jusoh

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan semasa melibatkan penghantar makanan (rider) yang maut baru-baru ini.

Prihatin dengan golongan itu yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19, Jakim hari ini memberi sumbangan kepada 50 penghantar makanan. katanya.

Sumbangan itu, ujar Abdul Aziz, merupakan sebahagian daripada program Kembara Al-Amin anjuran Jakim dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Majlis Ahama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

“Bukan nilai (sumbangan) yang kita utamakan tetapi ingatan kita kepada mereka, semoga sedikit sebanyak dikurangkan bebanan. Walaupun tidak banyak inilah sumbangan kita kepada masyarakat terutamanya kita nilai sebagai golongan yang memerlukan,

“Ini hasrat kita, kita doakan mereka semoga dapat mencari rezeki yang halal,” katanya ketika ditemui pada program yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Program Kembara Al-Amin dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary pada 13 April lalu, hari pertama Ramadan.

Salah satu segmen yang terdapat dalam program ini adalah Skuad Kembara Al-Amin yang disertai kumpulan sukarelawan yang terdiri daripada pertubuhan Geng Surau Putrajaya untuk menyantuni kumpulan yang memerlukan seperti golongan asnaf, B40 dan petugas barisan hadapan pada bulan Ramadan ini.-MalaysiaGazette