Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah bercakap pada sidang media berkaitan isu video lagu raya promosi judi atas talian di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan terhadap majlis perkahwinan pelakon, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) akan dihantar semula ke Pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan yang telah lengkap terhadap dakwaan itu telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara tetapi dipulangkan semula semula yang pihaknya melengkapkan beberapa perkara.

“Kita telah menghantar kertas siasatan ke pejabat peguam negara dan ada beberapa arahan perlu kita ambil.

“Kita akan lengkapnya dan hantar semula ke Pejabat Peguam Negara dalam minggu hadapan,” kata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Pada Selasa Mohamad Zainal  berkata, kertas siasatan berhubung kes itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, pihaknya juga mencadangkan supaya kompaun dikeluarkan terhadap pasangan popular terbabit.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan melibatkan majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz selepas tular gambar yang didakwa tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada 5 April lalu, polis telah merekodkan keterangan pasangan itu berhubung majlis perkahwinan yang didakwa melanggar SOP.

Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – MalaysiaGazette