Para penerima dana bantuan pendidikan sebanyak RM1.2 juta yang diagihkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)

KUANTAN – Dana bantuan pendidikan sebanyak RM1.2 juta telah diagihkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam tempoh tiga bulan bagi tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain,  bantuan Pendidikan akan terus disalurkan kepada institusi pendidikan Pahang bagi melancarkan lagi aktiviti pendidikan agama.

Tambahnya, bantuan tersebut diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Maahad Tahfiz, sekolah menengah agama Pahang, Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) termasuk sekolah menengah dan dua universiti tempatan.

“Semoga institusi yang menerima sumbangan ini dapat menggunakan dengan sebaiknya bantuan berkenaan untuk kegunaan keselesaan bersama.

“Selain itu, bantuan dihulukan kepada golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan enam pelajar dalam bidang agama yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara .

“Bantuan sebanyak RM20,000 hingga RM291,750 yang diberikan antaranya untuk  pembelian bas, menyediakan peralatan asrama, baik pulih bangunan dan sumbangan Ihya Ramadan.” kata Ahmad Hairi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Replika Cek Sumbangan Kepada Institusi Pendidikan Negeri Pahang bertempat di Pejabat MUIP Kuantan.

Antara wakil penerima yang hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Rektor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin, mewakili KUIPSAS menerima dana penyelidikan sebanyak RM289,000 daripada MUIP.

Kata Mohd Zawavi, dana pendidikan itu akan digunakan dengan sebaik mungkin dan hasil penyelidikan akan dikongsi dengan MUIP.

Tambah beliau, bantuan yang diterima dapat digunakan bagi menyediakan kemudahan kepada pelajar dan kakitangan. – MalaysiaGazette