Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa beramah mesra dengan peniaga semasa melakukan lawatan ke Bazar Ramadan Datuk Keramat di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Gerai-gerai juadah yang ‘terlajak laris’ di 66 bazar Ramadan di ibu kota dicadang melaksanakan sistem bernombor bagi memastikan urusan jual beli menepati peraturan penjarakan fizikal yang ditetapkan.

Kaedah itu diyakini mampu membantu mengelak kesesakan luar kawalan hingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu juga penting untuk memastikan tidak wujud kluster bazar Ramadan menjelang sambutan 1 Syawal nanti.

“Saya dapati ada gerai yang terlajak laris dibanjiri begitu ramai pengunjung hingga sesak. Saya minta jawatankuasa bazar berkenaan berbincang dengan peniaga untuk memperbaiki kepatuhan pelanggan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Daripada syor yang diterima dan mungkin boleh dipertimbangkan adalah gerai bazar yang laris ini mengeluarkan sistem bernombor bagi membolehkan pelanggan beratur tanpa bersesak,” katanya selepas meninjau bazar Ramadan di Datuk Keramat di sini petang tadi.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Mengulas lawatannya di bazar Ramadan Datuk Keramat, Annuar berkata, berdasarkan permerhatiannya didapati kelengkapan sanitasi tangan masih tidak disediakan di setiap gerai dan mahu peniaga mencari jalan untuk menyediakannya.

Dalam pada itu, beliau memuji keseriusan warga netizen dan masyarakat yang mengambil berat tentang kepatuhan SOP di tempat umum khususnya di bazar Ramadan sehingga kementerian itu menerima lambakan aduan beserta gambar.

Katanya, DBKL akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan bazar Ramadan tetapi menegaskan penutupan bazar adalah pilihan terakhir jika wujud kluster bazar Ramadan.

“Kita cuba melakukan yang terbaik untuk menjayakan bazar sehingga Ramadan berakhir,” ujarnya sambil menyeru ibu bapa dan orang awam supaya mengelak membawa kanak-kanak termasuk bayi ke tempat sesak seperti bazar Ramadan.

“Saya minta jawatankuasa bazar di setiap pintu masuk supaya menasihatkan ibu bapa yang datang dengan anak kecil meninggalkan mereka di tepi kawasan bazar sebagai langkah mengelak jangkitan dan memastikan pematuhan SOP terpelihara,” tegasnya.-MalaysiaGazette