Antara babak dalam satu lagi iklan hari raya yang mempromosikan aktiviti judi.

PENERBITAN video promosi kegiatan perjudian bertemakan sambutan hari raya yang
tular di media sosial wajar dilabelkan sebagai suatu tindakan yang cukup biadab dan
menghina agama Islam. Tatkala umat Islam sedang berpuasa kita dikejutkan dengan
penularan video seperti ini yang pertama kali berlaku di negara kita.

Tindakan berani pihak penerbitan video ini yang secara terang-terangan mengajak
umat Islam berjudi cukup mengejutkan, sekali gus mula mencetuskan rasa tidak puas
hati dan kemarahan dalam kalangan umat Islam. Hal ini kerana, judi adalah haram di
sisi agama Islam dan agama Islam pula adalah agama bagi Persekutuan Malaysia. Ini
dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Jadi timbul persoalan apakah penerbit ini sengaja mahu mencemar dan menghina
agama Islam? Sewajarnya penerbit memahami kedudukan agama Islam serta
larangan berjudi dalam Islam. Kenapa sukar untuk memahami perkara ini?

Ada tiga perkara serius yang perlu kita teliti dalam hal ini, iaitu pertama tindakan
berani mempromosikan kegiatan perjudian secara terbuka seperti ini, kedua
mengajak umat Islam mencari dana tambahan untuk sambutan hari raya melalui
aktiviti perjudian serta ketiga menggunakan pelakon beragama Islam untuk
mempengaruhi umat Islam.

Jelas sekali ini satu perbuatan yang cukup serius dan mujur pihak polis bertindak
dengan cepat. Kita hargai tindakan segera pihak polis yang sudahpun memulakan
siasatan mengikut seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka. Malah pihak
Suruhunjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga dilaporkan sudah

memulakan tindakan mereka. Hal ini cukup penting kerana ianya membabitkan isu
sensitif yang perlu ditangani dengan pantas, berhati-hati dan tegas.

Kita berharap pihak berkuasa akan menyiasat dan mendakwa pihak yang terbabit
dalam penerbitan video ini dengan segera agar menjadi peringatan dan pengajaran
kepada semua. Kita mahu tahu kenapa mereka begitu berani mempromosikan
kegiatan perjudian secara terbuka apatah lagi menyasarkan umat Islam sebagai
kumpulan sasaran menjelang sambutan hari raya. Keberanian mereka menimbulkan
pelbagai persoalan.

Apapaun, hentikanlah perbuatan menghina agama seperti ini apatah lagi
menggalakkan aktiviti yang terlarang di sisi agama. Dalam hal ini, pihak penerbitan
video tersebut perlu memikul tanggungjawab yang penuh ke atas insiden ini dan di
samping dikenakan hukuman yang setimpal, kita juga menuntut agar mereka
memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini. Percayalah
umat Islam negara ini cukup marah dan terguris dengan penerbitan video seperti ini.

Pada masa yang sama kita juga berharap agar para pelakon yang terlibat akan
segera bermuhasabah dan balik ke pangkal jalan. Janganlah kerana bayaran upah
serta mahu mengejar populariti kita sanggup menggadai dan merosakkan imej dan
nama baik agama sendiri. Agak pelik dan terlalu sukar untuk kita memahami kenapa
para pelakon yang terlibat ini sanggup terbabit dalam aktiviti mempromosi kegiatan
perjudian. Diharap mereka akan tampil ke hadapan memberi penjelasan yang
sewajarnya kepada pihak berkuasa dan juga seluruh rakyat Malaysia.

Tegasnya, umat Islam negara ini cukup marah dengan penerbitan video seperti ini
yang secara terang-terangan menghina agama Islam. Tindakan biadab seperti ini
tidak boleh dibiarkan terus berlaku, justeru diharap pihak berkuasa akan
mengenakan hukuman yang setimpal kepada semua yang terlibat.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa