Reza Karimi

TEHRAN – Stesen televisyen Kerajaan Iran menamakan seorang lelaki sebagai individu yang bertanggungjawab atas serangan di loji nuklear Natanz pada hujung minggu lalu.

Reza Karimi melarikan diri dari Iran sejurus sebelum letupan itu, kata Network One, menunjukkan gambar seorang lelaki dalam poster yang dikehendaki Interpol.

Bagaimanapun, Interpol tidak dapat mengesahkan Karimi berada dalam senarai merah individu buruan.

Iran telah menyalahkan Israel atas serangan itu dan meningkatkan aktiviti nuklearnya.

Setakat ini Israel belum mengesah atau menafikan pembabitannya.

Tetapi radio Israel memetik sumber-sumber perisik yang mendakwa kejadian di Natanz itu adalah operasi siber Mossad.

Serangan itu berlaku sebelum Iran mengambil bahagian dalam perbincangan untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 dengan Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China, Rusia dan Jerman.

Perjanjian itu dirancang untuk melarang Iran mengembangkan senjata nuklear, sesuatu yang dinafikan mahu dilakukan.

Namun Israel menentang perjanjian itu, dengan mengatakan perjanjian tersebut tidak akan menghalang Iran menjadi kuasa nuklear.

Perjanjian 2015 itu menyaksikan Iran mengehadkan aktiviti nuklearnya sebagai balasan pelepasan sekatan, berada dalam bahaya runtuh setelah bekas Presiden AS Donald Trump menariknya semula pada tahun 2018.

Setakat ini, tiada laporan yang mendedahkan dengan jelas bagaimana serangan itu berlaku di Natanz.

Namun, Alireza Zakani, Ketua Pusat Penyelidikan Parlimen Iran berkata ribuan mesin yang digunakan untuk memperbaiki bahan nuklear musnah atau rosak. – MalaysiaGazette