Seramai 21 warga Myanmar ditahan di hadapan sebuah rumah teres di Taman Bidara, Bukit Mertajam semalam.

BUKIT MERTAJAM – Keseronokan 21 warga Myanmar berpesta air sambil menari di hadapan sebuah rumah teres terbantut selepas kediaman di Taman Bidara di sini diserbu polis semalam.

Bertindak atas aduan orang awam, sepasukan polis menyerbu kediaman tersebut pada jam 2.30 petang sebelum mendapati kesemua suspek termasuk seorang wanita itu turut memasang muzik dengan kuat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

“Kesemua mereka didapati bermain semburan air menggunakan paip getah, selain membuat bising serta menari mengikut rentak muzik dipasang.

“Kumpulan itu juga didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka semasa berkumpul,” katanya hari ini.

Tambah Shafee, kumpulan terbabit cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya dihalang.

“Selain itu, salah seorang lelaki disyaki mabuk telah menolak anggota polis semasa melakukan pemeriksaan.

“Suspek enggan memberi kerjasama apabila diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri termasuk meninggikan suara.

“Kesemua individu berkenaan ditahan kerana gagal memberikan alasan yang munasabah,” kata Shafee.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 akta sama dan Peraturan 19 Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2021 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan. -MalaysiaGazette