Arjunaidi Mohamed

SHAH ALAM – Majikan yang ditahan dalam kes pukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan dan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan itu dibuat oleh Bukit Aman.

Katanya, polis kini dalam proses untuk melaksanakan tindakan penyitaan segala aset dan harta milik suspek itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Kegiatan haram lelaki tersebut terbongkar Khamis lalu selepas polis merampas 100 kilogram jongkong emasĀ  bernilai RM28.45 juta dari sebuah rumah milik salah seorang daripada empat rakan sejenayah yang ditahan dalam kes sama di Klang pada 14 April lalu.

Dalam perkembangan sama, Arjunadi menjelaskan, kesemua lima suspek termasuk suspek utama kini ditahan reman di IPD Klang Selatan antara lima hingga tujuh hari sehingga 22 April ini untuk membantu melengkapkan siasatan polis untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, tambahnya, polis tidak menemui petunjuk ke arah penglibatan dalam kongsi gelap oleh suspek utama.

Suspek seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun itu telah direman tiga hari sehingga semalam oleh IPD Dang Wangi.

Dia kemudian diambil oleh IPD Klang Selatan petang semalam dan direman lima hari sehingga 22 April ini di Mahkamah Majistret Jenayah 1 Klang pagi tadi. – MalaysiaGazette