Anjing baka Jerman yang ditahan MAQIS pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah mengesan kesalahan nombor mikrocip pada seekor ekor anjing baka terhad yang diimport dari negara Jerman ketika pemeriksaan dilakukan di kawasan pemeriksaan MAQIS KLIA Kargo pada Jumaat lalu.

Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Zamri Hashim berkata, kesalahan dikesan ketika pemeriksaan rapi pada dokumen dan fizikal haiwan tersebut pada jam 2.30 petang.

Kesalahan berlaku di mana nombor mikrocip yang terdapat pada badan anjing tersebut didapati tidak sama dengan dokumen Permit Import yang diisytiharkan.

Katanya lagi, kesalahan mengimport haiwan kesayangan dengan mengisytiharkan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhdimatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang
boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Haiwan tersebut telah ditahan dan dikuarantin untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, MAQIS sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara ini. – MalaysiaGazette