Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Persatuan Kesejahteraan Rakyat Malaysia (PKRM) mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas dalam memerangi kejadian isu-isu salah guna kuasa dan penglibatan pegawai-pegawai serta anggotanya bersama sindiket jenayah yang sedang bertular di negara kita.

Pengerusi PKRM, Datuk Ranjith berkata, tindakan Ketua Polis Negara harus diberikan kepujian serta dijadikan contoh kerana ini merupakan satu langkah berani yang mencabar.

Jangan sesekali melihat tindakan Ketua Polis Negara itu menjejaskan maruah PDRM, sebaliknya usaha beliau itu untuk membersihkan kepimpinan PDRM.

Beliau berani kerana benar dan prinsipnya jelas kepada semua anggota-anggota untuk telus dan adil dalam tugasan mereka sebagai unit utama yang memberikan jaminan kesejahteraan rakyat dan negara.

Ranjith berkata, rakyat sentiasa memberikan penghormatan tertinggi kepada PDRM tetapi kejadian pelbagai kes-kes melibatkan pegawai dan anggota polis yang memberikan perlindungan ke atas penjenayah dan sindiket-sindiket kegiatan salah kuasa jelas  membawa keburukan kepada negara dan generasi muda.

”Setiap negara berhasrat untuk mengekalkan kesejahteran rakyat dan menjamin ekonomi negara. Kejadian pelbagai isu sepertimana yang didedahkan baru-baru ini seperti kartel tender, kartel daging, kartel projek, kartel PDRM dan lain-lain melibatkan aliran wang berjuta-juta ringgit menjadi perhatian rakyat.

”Tindakan pucuk kepimpinan PDRM oleh Tan Sri Abdul Hamid Bador bersama Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Polis Johor amat membanggakan kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak setiap rakyat harus memberikan kerjasama sepenuhnya membantu pihak polis menjalankan tugasan mereka dengan menjadi mata dan telinga kepada polis.

Dengan kerjasama ini, menurut Ranjith, insiden salah laku jenayah dapat dibendung sepenuhnya.

Sebagai contoh baru-baru ini jadinya kes dua pengawal peribadi dipukul kerana berpuasa, akibat daripada kejadian ini polis berjaya merampas harta anggaran RM28 juta.

”Dari mana individu itu boleh memiliki harta dan wang sejumlah besar itu? Berapa lama mereka melakukan aktiviti salah laku dan siapa yang memberikan perlindungan?,” soalnya.

Kes-kes sebegini jelas memberi petunjuk kepada bahawa adanya pihak-pihak yang terlibat memberikan perlindungan sambil mengambil suapan.

”Memang pengawal peribadi yang dipercayai dipukul itu tahu jenis perniaagan majikan dan sumber kekayaan majikan tetapi tidak melaporkan sehingga menjadikan isu dipukul oleh majikan sendiri. Apatah lagi sekiranya tidak dikena pukul, maka dalang sindiket ini memang akan berterusan seperti biasa,” tambahnya.

Ranjith berkata, pertubuhan itu berharap satu perubahan dan wajah baharu PDRM yang kembali dengan tindakan kuasa yang lebih ketat serta mendedahkan nama dan maklumat pegawai-pegawai yang terlibat dalam salah guna kuasa supaya rakyat dapat mengenali mereka serta dikenakan hukuman setimpal. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Naka tahu sumber perniagaan dan kekayaan majikan kena gelidah dulu baru jumpa buktinya, kan?

Comments are closed.