Motosikal ditunggang Muhammad Haikal Shaffik dikatakan terbabas sebelum melanggar tiang di kiri jalan.

SEBERANG PERAI – Seorang anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda maut dalam kemalangan di susur masuk lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5 petang, mangsa, Muhamad Haikal Shaffik Abdul Rahim,31, dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Shafee Abd Samad berkata, pihaknya terima panggilan pada jam 5.05 petang daripada orang awam memaklumkan berlaku kemalangan di susur masuk jambatan tersebut.

“Hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dari arah Perai menghala ke pusat bandar dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang di bahagian kiri jalan.

“Akibat kejadian tersebut mangsa yang menetap di Sungai Batu, Teluk Kumbar itu disahkan meninggal di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah ketika dihubungi MalaysiaGazette memberitahu anggota tersebut baru selesai tugas dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

“Mangsa bertugas di Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Muda bermula jam 8 pagi hingga 4 petang tadi.

“Anggota tersebut sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai dua anak iaitu Muhammad A’isy Naufal,9, dan A’isy Naura,2 tahun. Selain itu, arwah juga seorang anggota yang berdedikasi,” kata Adzli. –MalaysiaGazette