KUALA LUMPUR – Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan sutradara tersohor, Mamat Khalid, telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM1 juta hanya dalam tempoh 3 hari sepanjang ia ditayangkan pada 15 April lalu di platfrom Astro First, saluran 480.

Watak Barkoba lakonan Bell Ngasri juga dilihat telah tular menerusi hasil ‘meme’ di media sosial ketika bulan Ramadan berikutan karakternya yang tidak berpuasa dan sinonim dengan ‘beg hitam’.

18 Puasa Di Kampung Pisang adalah gabungan daripada dua ‘masterpiece’ pengarah Mamat Khalid iaitu Kampong Pisang dan 16&17 Puasa.

Pengarah 18 Puasa Di Kampung Pisang, Mamat Khalid berkata: “Alhamdulillah filem ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton.

”Saya harap filem ini bukan sahaja mampu memberi hiburan semata-mata, tetapi turut memberi pengajaran serta mengingatkan semasa kita tentang kesan baik buruk daripada kelakuan kita”.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad yakin ramai yang menantikan kehadiran filem ini.

Apabila watak Barkobar telah tular di media sosial, ia membuktikan karakter tersebut sangat kuat dan sinonim dengan penonton ketika bulan Ramadan.

Di media sosial juga menyaksikan rata-rata penonton serta pengkritik filem bebas berkongsi respons positif mengenai filem ini.

”Kami berharap kejayaan ini akan menjadi permulaan yang baik untuk filem ini terus mendapat sokongan daripada penonton di luar sana,” katanya.

18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden. Dia telah didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang kini berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First.- MalaysiaGazette