Laluan di Persiaran Alam Damai telah dibuka semula.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pengalihan kren gantri dan rasuk konkrit (beams) yang terlibat dalam insiden kemalangan di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) telah selesai semalam setelah dua minggu ia dilakukan.

Kerja-kerja pengalihan ini dilaksanakan oleh Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd. melalui kontraktor terlibat iaitu Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn. Bhd (SMPP).

Pihak berkuasa seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memantau pelaksanaan kerja-kerja ini bagi memastikan kerja-kerja itu dilakukan dengan teliti dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

Setelah semua kerja-kerja tersebut selesai, jurutera perunding seliaan dan agensi berkaitan akan meneliti secara keseluruhan keadaan struktur yang terlibat bagi mengesahkan ia selamat.

Kesemua proses penilaian ini akan dilaksanakan secara terperinci dan telus.

Berikutan itu, sebahagian laluan di Persiaran Alam Damai yang ditutup susulan insiden tempoh hari telah dibuka semula kepada penduduk Kondominium Puncak Banyan dan orang awam sebaik mendapat pengesahan selamat dan kelulusan dari pihak jurutera perunding dan pihak berkuasa.

Dengan pembukaan semula Persiaran Alam Damai ini, ia akan membantu penduduk terutamanya di Kondominium Puncak Banyan untuk menjalani kehidupan seperti biasa. – MalaysiaGazette