Orang awam membeli ayam segar untuk persediaan juadah berbuka puasa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Selayang Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Apabila musim perayaan hampir tiba, pasti timbul isu kenaikan harga barang basah yang berlipat kali ganda.

Sudah lah terhimpit dengan pendapatan yang tidak menentu di kala pandemik Covid-19 masih belum surut, ditambah pula dengan beban kos barangan keperluan yang semakin mencengkam.

Tinjauan Malaysia Gazette di dua buah pasar di Selayang mendapati harga ayam, daging segar dan beberapa jenis sayur-sayuran menunjukkan peningkatan yang begitu ketara sejak akhir-akhir ini.

Menurut peniaga ayam, Abdul Halim Hashim, 45, mereka tidak mempunyai daya untuk mengawal harga jualan di gerai berikutan pembekal mengenakan harga yang agak tinggi.

Peniaga ayam, Abdul Halim Hashim ditemu bual mengenai harga ayam dan barangan keperluan yang didakwa mahal pada bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Tani Selayang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 APRIL 2021.

“Kita naikkan tapi tak berapa tinggi sangat kerana kita juga kasihan pelanggan yang datang beli kerana ketika bulan Ramadan memang tiap-tiap tahun dijangka naik.

“Di sini saya jual antara RM8.80 sehingga RM9.50,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di Pasar Selayang hari ini.

Seorang lagi peniaga ayam, Akmal Zaini Dahlan, 34, berkata, harga jualan barang basah itu tidak menentu sejak kebelakangan ini namun menunjukkan peningkatan yang mendadak antara tiga hingga empat hari yang lalu.

Peniaga ayam, Akmal Zaini Dahlan ditemu bual mengenai harga ayam dan barangan keperluan yang didakwa mahal pada bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Tani Selayang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 APRIL 2021.

Jelas Akmal, dia juga tidak dimaklumkan oleh pembekal mengenai masalah sebenar kenaikan harga ayam tersebut.

“Sekarang ini sekilo RM9.50 tetapi sebelum puasa di antara RM8.50 sehingga RM8.80. Mungkin nak dekat raya nanti harga ayam boleh melonjak naik lebih daripada RM10.

“Pembekal pun tidak cakap apa-apa, cuma beritahu harga ayam mahal. Kita pun tidak boleh elak walaupun memang dengar pelbagai rungutan daripada pelanggan kerana kita ambil pun sudah mahal.

“Tiap-tiap minggu akan naik dari 30 sen ke 30 sen,” ujarnya ketika ditemui di Pasar Selayang Baru.

Sementara itu, seorang pelanggan, Yati Tuman, 38, meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan harga jualan sekilogram ayam yang dianggap tidak masuk akal.

Pengunjung, Yati Tuman ditemu bual mengenai harga ayam dan barangan keperluan yang didakwa mahal pada bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Tani Selayang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 APRIL 2021.

“Saya hanya berbelanja barangan basah seminggu sekali sahaja tapi memang terasa sangat perbezaan harga dan sudah tentu amat membebankan. Sebelum puasa dekat sini dalam RM9 sekilogram ayam tapi kalau seekor RM17 hingga RM20.

“Sebelum ini harga daging sekilogram antara RM26 – RM27 tetapi sekarang RM28. Tadi pun saya nak beli daun ketumbar untuk 100 gram dijual RM6, memang mahal sangat walaupun kita hendak beli sedikit sahaja.

“Kalau sebelum raya pun harga ayam sudah cecah RM9.50 tak mustahil nanti boleh jadi lebih RM10.

“Kalau boleh (kerajaan) turunkan lah sedikit harga barangan kerana ekonomi rakyat sekarang pun tidak menentu,” katanya.

Justeru, harga ayam segar bukan lah satu-satunya barang basah yang melambung sehingga menimbulkan rungutan pengguna malah peniaga sayur di pasar turut mengakui harga beberapa jenis sayuran meningkat sehingga hampir dua kali ganda.

Menurut Mustholah Samsi, 69, dia tidak mempunyai pilihan sehingga terpaksa menaikkan harga sayur-sayuran yang dijual kerana sudah mengeluarkan kos yang banyak bagi membayar sewa tapak, gaji pekerja dan petrol.

Peniaga sayur, Mustholah Samsi ditemu bual mengenai harga ayam dan barangan keperluan yang didakwa mahal pada bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Tani Selayang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 APRIL 2021.

“Kacang buncis kita beli di pasar borong dah RM12, jual semula RM15. Kacang panjang pula RM10 paling kurang pun RM9. Yang lain-lain masih macam biasa seperti cili merah dan sebagainya.

“Tomato sekarang RM3 bagi sekilogram tetapi ketika awal Ramadan memang murah kerana saya beli sekotak untuk 10 kilogram dalam RM8 – RM10 tetapi kini sehingga RM30.

“Pada hari minggu, saya perlu mengeluarkan modal kira-kira RM1,500 untuk memenuhkan meja ini dan dengan kenaikan harga sayur memang agak membebankan kerana juala sekarang pun merosot kerana kekurangan pelanggan,” ujarnya.

Dalam pada itu, peniaga daging segar, Alif Haikal Aziz, 21, berkata, dia sentiasa menerima rungutan daripada pengguna berikutan harga daging yang tinggi.

Peniaga daging segar, Alif Haikal Aziz ditemu bual mengenai harga ayam dan barangan keperluan yang didakwa mahal pada bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Tani Selayang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 APRIL 2021.

“Awal raya Cina tempoh hari harga memang dah naik, sekarang ini sudah bulan puasa pun naik juga. Biasa bila harga daging dah naik memang takkan turun.

“Kita letak harga RM38 mungkin lepas ini boleh naik sehingga RM40, raya pun mungkin naik lagi. Biasa orang lain akan jual dalam RM40, kat sini masih lagi RM38, tempat lain seperti NSK atau Sri Ternak antara RM40 hingga RM45.

“Sebelum ini, kebiasaannya akan naik RM1 hingga RM2 tapi awal puasa naik lagi RM2.

“Pelanggan tetap tiada masalah tapi pelanggan yang datang sekali-sekala memang rasa pelik kenapa harga naik terlalu tinggi, jadi kita sebagai peniaga akan jelaskan elok-elok kepada mereka kenapa harga naik.

“Tulang rusuk biasa jual RM34 tapi datang RM38, jadi harga memang mahal. Kami sebagai peniaga untung pun bukan banyak, kadang-kadang RM1 hingga RM2 sahaja,” katanya. – Malaysia Gazette